Sabah tubuh jawatankuasa pantau projek pembangunan - Hajiji
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Februari 16, 2021 16:23 MYT
Februari 16, 2021 16:23 MYT
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menubuhkan Jawatankuasa Khas Pewujudan Projek Persekutuan negeri bagi memastikan penyelarasan dan koordinasi pelaksanaan projek Persekutuan dapat dibuat dengan lebih teratur serta cepat.
Keputusan itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah yang pertama pada tahun ini di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) pada Selasa.
“Mesyuarat hari ini bersetuju untuk mewujudkan jawatankuasa khas ini yang dilihat amat baik bagi menangani atau mengurangkan kelewatan projek disiapkan di negeri ini. Projek sakit atau tamat tempoh adalah sesuatu yang amat merugikan rakyat di kawasan yang terbabit.
“Bentuk jawatankuasa ini nanti akan diperhalusi dan diperincikan agar ia benar-benar berkesan serta mencapai objektif penubuhannya.
“Saya juga berharap jawatankuasa itu akan dapat mengenal pasti isu atau perkara yang menjadi halangan pada peringkat awal, sekali gus dapat diselesaikan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mesyuarat secara maya itu turut disertai Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin; Datuk Dr Jeffrey Kitingan' Datuk Dr Joachim Gunsalam; barisan menteri Kabinet negeri serta pegawai kanan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri mahu jabatan atau agensi yang terbabit mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan dan menyiapkan semua projek yang lewat seperti pembinaan sekolah, hospital dan bekalan elektrik serta air luar bandar di negeri ini.
“Saya meminta kerjasama dan koordinasi antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan perlu dipertingkatkan dalam usaha mempercepatkan perlaksanaan projek atau program kerajaan di Sabah,” katanya.
Beliau turut meminta mana-mana projek yang lewat disiapkan daripada jadual agar dipercepatkan kerana kelewatan dałam melaksanakan projek yang telah diluluskan hanya merugikan rakyat dan kerajaan selain akan meningkatkan lagi kos.
Dalam pada itu, Hajiji meminta jawatankuasa MTPNg memastikan peruntukan besar yang disalurkan kerajaan Persekutuan dapat dibelanjakan sebaiknya untuk pembangunan di negeri ini.
“Kita mahu peruntukan dapat dibelanjakan sepenuhnya bagi memastikan manfaat pembangunan dinikmati rakyat. Kita tidak mahu timbul isu peruntukan terpaksa dikembalikan kepada Pusat kerana tidak dapat dibelanjakan,” jelas Hajiji lagi.
#Sabah
#Kerajaan Sabah
#projek persekutuan
#projek pembangunan
#Jawatankuasa Khas Pewujudan Projek Persekutuan
#Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri
#Ketua Menteri
#Hajiji Noor