Sabah tetap tuntut 20 peratus royalti minyak

Astro Awani
Jun 7, 2018 22:45 MYT
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya tidak akan berganjak dan akan terus memperjuangkan jumlah royalti tersebut.
Kerajaan Negeri Sabah akan terus menuntut 20 peratus royalti minyak seperti yang termaktub dalam manifesto parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pihaknya tidak berganjak dan akan terus memperjuangkan jumlah royalti tersebut.
"Dalam perjumpaan dengan Kementerian Kewangan hari ini tiada dibangkitkan tentang Petronas. Apa yang penting, Kerajaan Negeri Sabah tetap akan menuntut 20 peratus royalti minyak seperti mana dalam manifesto PRU14," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama pelajar Sabah yang menuntut di institusi pengajian tinggi di Semenanjung di Pusat Konvensyen Setia City di Shah Alam di sini hari ini.
Ditanya apakah bentuk perbincangan dalam mesyuarat dengan Kementerian Kewangan, Mohd Shafie menjelaskan, ia hanya mesyuarat biasa dan merupakan salah satu tanggungjawab (menghadiri) yang diadakan selain diwakili dari seluruh negeri-negeri di negara ini.
Sementara itu ditanya sama ada beliau telah menyerahkan senarai calon untuk menjawat jawatan menteri dan timbalan menteri di peringkat Kabinet Persekutuan, Mohd Shafie memaklumkan sudah berbuat demikian.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah nama yang diserahkan sekali gus menyerahkan sepenuhnya keputusan pelantikan kepada budi bicara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
#kabinet #Ketua Menteri #Mahathir Mohamad #Manifesto #minyak #Mohd Shafie Apdal #Perdana Menteri #Petronas #PRU14 #royalti #Shafie Apdal
;