Sabah tetap milik Malaysia

Wafa Aula
Januari 31, 2018 13:01 MYT
Kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf dan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak terhadap Sabah. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Tuntutan terbaharu ke atas Sabah yang dibuat oleh seorang Ahli Jawatankuasa Perundingan Filipina mampu menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan Filipina.
Malah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, tuntutan itu juga mendedahkan mereka jahil sejarah dan undang-undang antarabangsa.
Tegasnya, kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf dan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak terhadap Sabah.
“Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa sebagai sebahagian dari Malaysia sejak Persekutuan ini ditubuhkan pada 16 September 1963,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Anifah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Perundingan Filipina, Aquilino Pimentel Jr. yang mendakwa mahu memasukkan Sabah dalam republik itu menerusi satu temu bual bersama media antarabangsa, ANC, semalam.
#Dato Sri Anifah Haji Aman #Filipina #hubungan diplomatik #Kerajaan Sulu #Persekutuan Malaysia 1963 #Sabah #undang-undang
;