Sabah terima murid tanpa dokumen paling ramai - Maszlee

Astro Awani
Februari 19, 2019 03:22 MYT
November lalu Maszlee mengumumkan pelaksanaan "zero-reject policy" bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK) untuk mengatasi masalah keciciran murid. - Gambar hiasan
2,635 kanak-kanak yang tidak berdokumen Bumiputera telah diterima masuk ke sekolah kebangsaan sejak Pakatan Harapan (PH) memerintah.
Daripada jumlah itu, Sabah mencatatkan jumlah paling ramai anak-anak Bumiputera tanpa dokumen yang diterima masuk ke sekolah kerajaan iaitu 1,961, selebihnya di Sarawak seramai 263 kanak-kanak.
Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berkata dasar penerimaan masuk ke sekolah oleh kanak-kanak tanpa dokumen dibuat atas dasar melihat besarnya masalah keciciran anak-anak Bumiputera yang tidak berdokumen.
Bagaimanapun Maszlee mengakui proses menerima kanak-kanak tanpa dokumen masuk ke sekolah dilakukan secara berhati-hati demi menjaga sentimen masyarakat setempat.
"Misalnya, bagi kanak-kanak yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri untuk diterima masuk ke sekolah, yang mana salah seorang ibu bapa kanak-kanak tersebut adalah warganegara, mereka memerlukan Surat Pengesahan atau Surat Perakuan daripada samada ahli parlimen, ADUN, pegawai daerah, penghulu, ketua kampung, ketua kaum atau ketua rumah panjang tempat tinggal kanak-kanak tersebut," kata Maszlee dalam posting di Facebook beliau.
November lalu Maszlee mengumumkan pelaksanaan "zero-reject policy" bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK) untuk mengatasi masalah keciciran murid.
#ADUN #Bumiputera #Facebook #Kanak-kanak #kerajaan #Maszlee Malik #menteri #Pakatan Harapan #Parlimen #pendidikan #rumah #sekolah