Sabah telah bertemu Petronas isu royalti minyak
Ruzaini Zulkepli
Ogos 21, 2018 17:19 MYT
Ogos 21, 2018 17:19 MYT
Kerajaan Negeri Sabah sudah mengadakan pertemuan dengan Petronas bagi membincangkan usaha merealisasikan tuntutan 20 peratus royalti minyak, baru-baru ini.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, satu perbincangan sudah dilakukan antara kedua-dua pihak memandangkan isu royalti merupakan salah satu manifesto utama kerajaan baharu yang diketuai oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu.
"Royalti minyak sentiasa menjadi keutamaan kita dan jika melihat kapasiti pengeluaran seluruh negara hampir 50 peratus adalah dari Sabah dan kita tidak keberatan untuk berkongsi hasil ini dengan negeri lain tetapi yang penting 20 peratus ini perlu kita tuntut.
"Sabah adalah salah satu negeri yang terbesar di negara ini dan kita memerlukan lebih banyak wang untuk memastikan kita dapat membangunkan negeri ini dan seterusnya menyediakan peluang pekerjaan,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), sempena 100 hari pemerintahan kerajaan negeri Sabah, hari ini.
Dalam pada itu, sempena 100 hari pemerintahan kerajaan negeri bersama gabungan Parti Warisan Sabah (Warisan), DAP, PKR dan UPKO, beliau menyatakan, banyak perubahan yang telah dilaksanakan dan ia akan terus disusuli dengan pembaharuan demi pembaharuan untuk kepentingan rakyat di negeri ini.
Jelas beliau, isu pendidikan, keselamatan, kesihatan dan isu peluang pekerjaan merupakan antara keutamaan di bawah pemerintahan kerajaan negeri.
Beliau juga tidak menafikan bahawa terdapat beberapa perkara yang tidak dapat ditunaikan dalam tempoh 100 hari pemerintahan namun ia akan dilaksanakan secara berperingkat.
"Hari ini genaplah 100 hari pemerintahan kerajaan negeri yang baharu di bawah perkongsian parti PKR, DAP dan UPKO, dan kita sedar kerajaan yang ada sekarang ini adalah hasil sokongan daripada rakyat Sabah untuk merealisasikan harapan mereka," katanya.