Sabah tarik kehadiran 2.1 juta pelancong dari Januari hingga Ogos

Bernama
November 2, 2024 23:00 MYT
Warna warni Tamu Besar Kota Belud selama tiga hari bakal berakhir esok. - Gambar Bernama
KOTA BELUD: Sabah berjaya menarik kehadiran 2.1 juta pelancong dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 867,231 adalah pelancong antarabangsa, manakala bakinya pelancong domestik.
"Jumlah ini menunjukkan potensi besar Sabah sebagai destinasi pelancongan, dan saya yakin dengan perancangan strategik yang telah diatur, jumlah kedatangan pelancong ke Sabah akan terus mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Tamu Besar Kota Belud di sini hari ini.
Perasmian dilakukan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan.
Tamu Besar Kota Belud selama tiga hari bakal berakhir esok, dan tamu berusia lebih 100 tahun itu bukan sahaja medan penduduk tempatan berniaga pelbagai produk tempatan seperti makanan, kraf tangan dan pakaian, tetapi juga kini menjadi antara produk pelancongan utama di Sabah.
Hajiji berkata kerajaan negeri komited untuk memperhebat pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pelancongan yang inklusif, khususnya memperluas rangkaian promosi pelancongan dan mengembangkan jaringan laluan udara ke negeri ini.
"Langkah ini bertujuan meningkatkan kebolehcapaian Sabah sebagai destinasi yang mampu menawarkan pengalaman pelancongan yang paling menarik bagi pelancong domestik mahupun antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Khairul Firdaus berkata Tamu Besar Kota Belud berpotensi dipromosi ke seluruh dunia sebagai satu daripada produk pelancongan dan kebudayaan utama di Negeri di Bawah Bayu.
Beliau berkata penganjuran Tamu Besar Kota Belud sejajar dengan usaha memajukan sektor pelancongan setempat menerusi kekayaan warisan budaya dan masyarakatnya.
"Di sini pengunjung akan dapat membeli hasil produk kraf tangan tempatan yang unik dan berbeza daripada hasil kraf dari daerah lain di Sabah, selain pelancong berpeluang menikmati keunikan budaya seterusnya melestarikan seni, budaya dan warisan kita.
"Buat pertama kalinya Tamu Besar Kota Belud dianjurkan sebagai signature event supaya kementerian saya dapat mempromosikan acara hebat ini ke seluruh dunia," katanya.
-- BERNAMA
#pelancongan #kraf tangan #warisan budaya #perancangan strategik
;