Sabah setuju tambah bilangan jemaah solat Jumaat

Eleanor Michelle Patrick
September 17, 2021 23:59 MYT
Jumlah jemaah yang dibenarkan bagi solat Jumaat di masjid utama kini ditambah kepada 300 orang. - Gambar fail/Astro AWANI
KOTA KINABALU: Sabah hari ini bersetuju menambah bilangan jemaah solat Jumaat dan solat fardhu lima waktu di masjid dan surau serta aktiviti keagamaan yang lain.
Menurut Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, jumlah jemaah yang dibenarkan bagi solat Jumaat di masjid utama kini ditambah kepada 300 orang.
Sementara bagi jemaah di masjid kariah pula ditambah kepada 200 orang, manakala solat Jumaat di surau dihadkan kepada 50 jemaah.
"Bagi solat fardhu pula, bilangan jemaah yang dibenarkan hadir ke masjid utama ialah 150 orang. Namun, bagi masjid kariah dan surau hanya 50 jemaah yang dibenarkan.
"Keutamaan untuk solat Jumaat dan solat fardhu berjemaah di masjid serta surau diberikan kepada jemaah yang sudah lengkap dua dos vaksin," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Tambah Masidi, kerajaan negeri juga memutuskan kuliah Maghrib yang dilaksanakan antara waktu Maghrib dan Isyak turut dibenarkan.
Dalam pada itu, katanya solat jenazah juga dibenarkan sama seperti bilangan jemaah solat Jumaat dan solat fardhu.
"Manakala pengurusan jenazah dibenarkan dengan penyertaan 20 orang, diikuti kebenaran ziarah kubur juga seramai 20 orang.
"Bagi majlis akad nikah di masjid atau surau, bilangan yang dibenarkan ialah 20 orang di dewan atau bilik khas tertakluk kepada keluasan dan kebenaran jawatankuasa masjid atau surau," katanya.
Takrifan masjid utama katanya merujuk kepada masjid seperti Masjid Negeri Sabah, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Masjid Nurul Hikmah, Bukit Padang dan semua Masjid Daerah.
#Sabah #Solat Jumaat #solat fardu #Masidi Manjun #masjid #surau #vaksin #COVID-19
;