Sabah sedia terima limpahan pelaburan dari Jepun - Shafie Apdal

Ruzaini Zulkepli
November 30, 2019 23:45 MYT
Shafie (tengah) mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Sabah dalam Seminar Perniagaan di antara Malaysia dan Jepun.
Kerajaan Negeri Sabah kini bersedia untuk menerima limpahan pelaburan asing melalui perancangan mapan melibatkan pemain industri dan sektor di Jepun.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pertemuan di antara pihak kerajaan negeri dan 140 syarikat terdiri daripada pelbagai sektor perniagaan itu dilihat mampu melonjakkan ekonomi Sabah secara amnya.
Beliau yang mengetuai delegasi Kerajaan Negeri Sabah dalam Seminar Perniagaan di antara Malaysia dan Jepun, di sini, hari ini mengadakan sesi pertemuan selama tiga jam bagi menerangkan kesediaan pihaknya memudah cara para pelabur di negara matahari terbit itu melabur perniagaan di Sabah.
Seminar tersebut dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
"Ini merupakan misi yang bermanfaat bagi kita menyertainya dan mendapatkan sokongan daripada kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
"Kerana saya yakin ini satu langkah bukan hanya kita boleh jelaskan, menerangkan tentang kedudukan dan kestabilan dan juga pelbagai kemudahan yang dapat negara kita, negeri kita," katanya.
Turut serta dalam seminar itu adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Datuk Seri Madius Tangau berserta rombongan masing-masing.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata kedudukan strategik Sabah yang berjiran dengan ibu negara Indonesia, Kalimantan serta berada dalam laluan Selat Lombok-Makassar mampu menjadi tarikan utama pelaburan asing terutamanya dari negara Jepun.
Ini ditambah pembangunan Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu yang menjadi pusat penyinggahan terkemuka suatu hari nanti.
"Makassar route ini satu lokasi yang dapat kita lihat tidak pernah diterokai selama ini kerana bayangkan jarak jauh distance dia.
"Tapi kalau ada Makassar Strait ini, ia dari Australia, New Zealand terus ke Sulawesi, Kalimantan dan terus ke Lahad Datu... jaraknya saya ingat lebih daripada separuh," katanya.
Tambahnya lagi, dengan laluan strategik itu, beliau berkata, ia akan memudahkan laluan kapal dagang ke Sabah sekali gus meningkatkan pelaburan sedia ada.
#Darell Leiking #kerajaan negeri Sabah #Madius Tangau #MITI #Shafie Apdal
;