Sabah, Sarawak perlu pejabat penghubung KPT dengan masyarakat - Timbalan Menteri
Bernama
Julai 18, 2023 04:00 MYT
Julai 18, 2023 04:00 MYT
SANDAKAN: Sabah dan Sarawak memerlukan cawangan atau pejabat penghubung antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan masyarakat di kedua-dua negeri.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata beliau akan membangkitkan perkara itu untuk pertimbangan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin bagi memudahkan masyarakat di kedua-dua negeri berurusan mengenai pendidikan di peringkat universiti awam.
"Ini tertakluk kepada keperluan. Kita akan membuat kajian sesuaikah kita mewujudkan satu cawangan sebagai penghubung KPT dengan masyarakat.
"Saya juga mendengar keluhan masyarakat mengatakan mereka susah berhubung dengan kementerian kerana tiada penghubung itu," katanya kepada pemberita selepas melawat Fakulti Pertanian Lestari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dekat sini hari ini.
Mohammad Yusof juga berkata fakulti itu boleh mengembangkan program pertaniannya agar mampu menarik pelancong ke daerah ini.
Beliau berkata selari dengan usaha pertanian lestari, UMS boleh menggunakan kawasan sedia ada dengan program bagi menarik pelancong seperti zoo yang mempunyai kaitan dengan kajian haiwan serta buah-buahan komersial mengenai proses penanaman dan pertumbuhannya. - BERNAMA