Sabah, Sarawak, Labuan dijangka kena tempias taufan akibat Ribut Tropika Kuat Nesat malam ini
Astro Awani
Oktober 17, 2022 21:28 MYT
Oktober 17, 2022 21:28 MYT
KUALA LUMPUR: Ribut Tropika Kuat Nesat yang berada di kedudukan 19.7°Utara 117.2°Timur di barat laut Filipina yang bergerak ke arah barat menuju Pulau Hainan, China dijangka akan meningkat ke tahap taufan malam ini.
Fenomena itu dijangka akan menyebabkan angin kencang di Laut China Selatan dan turut memberi kesan kepada Sarawak, Sabah dan Labuan.
Berikutan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) di Sarawak, Sabah dan Labuan sehingga 18 Oktober 2022.
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mengingatkan orang ramai untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan.
"MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) untuk Sarawak, Sabah dan WP Labuan sehingga 18 Okt 2022.
"Semoga Allah lindungi kita daripada bencana buruk. Hati-hati," katanya dalam hantaran di laman Facebook miliknya hari ini.