Sabah, Sarawak digesa pinda undang-undang berkaitan hidupan liar
Bernama
Oktober 21, 2019 05:00 MYT
Oktober 21, 2019 05:00 MYT
Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli meminta kerajaan Sabah dan Sarawak untuk meminda undang-undang berkaitan hidupan liar di negeri berkenaan supaya hukuman lebih berat dapat dikenakan kepada pesalah hidupan liar.
Menteri berkenaan, Dr A. Xavier Jayakumar berkata tindakan itu bertujuan memastikan ia selaras dengan langkah kerajaan yang akan meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 pada sesi pertama mesyuarat Parlimen tahun depan.
"Sabah dan Sarawak ada akta (hidupan liar) mereka sendiri, tetapi saya minta selepas Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 digubal dan (diluluskan) di Parlimen, ini akan diikuti mereka.
"Sudah tiba masanya tempoh penjara dan jumlah denda ditingkatkan supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemburu haram," katanya di lobi Parlimen pada Isnin.
Beliau mengulas mengenai kejadian seekor lagi gajah pygmy dewasa ditemukan mati dengan kesan tembakan serta gadingnya hilang di sebuah ladang kelapa sawit di Beluran, Sabah Sabtu lepas.
Pada 25 Sept lepas, bangkai seekor gajah pygmy ditemukan di Sungai Udin Dumpas, Kalabakan, Tawau juga dengan kesan tembakan dan ekoran itu, enam individu ditahan untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Xavier Jayakumar berkata kementerian itu bercadang menambah jumlah renjer hutan yang terdiri daripada pesara tentera dan orang asal supaya aktiviti penguatkuasaan serta rondaan yang lebih efektif dan ketat dapat dilakukan.
"Ini permintaan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), jadi kita ada bajet mengenai perkara ini dan ia sedang diteliti termasuk menentukan jumlah renjer serta kawasan hutan mana yang perlu diberi tumpuan," katanya.
-- BERNAMA
#Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010
#hukuman lebih berat
#pinda undang-undang
#Sabah
#Sarawak
#Xavier Jayakumar