Sabah peruntuk RM70 juta kepada badan keagamaan bukan Islam

Bernama
Disember 10, 2024 22:32 MYT
Hajiji berkata, kerajaan negeri komited dan sentiasa mengamalkan dasar keadilan serta kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama. - Bernama
KOTA KINABALU: Sabah memperuntukkan sebanyak RM70 juta sebagai bantuan kepada badan keagamaan bukan Islam, sekolah mubaligh dan persendirian di negeri itu pada 2025.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata peruntukan itu meningkat sebanyak RM13.25 juta berbanding tahun ini iaitu RM56.75 juta.
“Kerajaan negeri komited dan sentiasa mengamalkan dasar keadilan serta kesaksamaan dalam semua aspek untuk membantu rakyat tanpa mengira kaum dan agama demi mengekalkan keharmonian masyarakat di Sabah,” katanya ketika merasmikan Sambutan Perayaan Krismas Kota Kinabalu (KKCC) Tahun 2024 di Padang Merdeka di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey G.Kitingan yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah.
Beliau berkata tema edisi ke-19 KKCC iaitu Kasih Melalui Tindakan amat tepat khususnya di Sabah yang mempunyai rakyat pelbagai kaum dan agama.
“Tema itu amat disokong kerana ia mendorong kita untuk saling mengasihi bukan hanya setakat bercakap mengenai kasih tetapi menterjemah dan menunjukkan kasih itu melalui tindakan.
"Kasih dalam kalangan masyarakat pelbagai suku, bangsa dan agama ini amat penting untuk kesejahteraan, kemakmuran serta keamanan negeri Sabah yang kita cintai ini,” katanya.
Hajiji turut memuji usaha kreatif dan kerjasama pelbagai lapisan masyarakat di Sabah yang terlibat dalam penghasilan kalung manik buatan tangan sempena majlis itu.
Beliau berkata kerjasama itu menunjukkan betapa eratnya perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.
“Marilah kita bersama-sama berganding bahu dan bekerja keras agar negeri ini terus maju jaya. Selamat menyambut Hari Krismas kepada semua masyarakat Kristian dan Tahun Baharu 2025 kepada seluruh rakyat negeri ini,” katanya.
-- BERNAMA
#Sabah #badan keagamaan bukan islam #bantuan #rakyat #Hajiji Noor
;