Sabah pertimbang kurangkan tempoh kuarantin wajib bagi individu dari luar negara

Bernama
November 1, 2021 00:38 MYT
GAMBAR FAIL: Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 14 Okt, 2021. - BERNAMA
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mempertimbangkan untuk mengurangkan tempoh kuarantin wajib kepada mana-mana individu dari luar negara yang memasuki pintu masuk antarabangsa negeri itu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun yang juga jurucakap COVID-19 negeri berkata ia terpakai kepada warganegara dan bukan warganegara yang tiba ke Sabah dari luar negara.
Memperincikan perkara itu, Masidi berkata bagi individu lengkap vaksinasi dipertimbangkan menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari, manakala bagi tiada atau tidak lengkap vaksinasi perlu menjalani kuarantin selama 10 hari.
"Di samping itu, pengembara lengkap vaksinasi boleh dipertimbangkan untuk menjalani kuarantin di rumah jika bersesuaian," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Mengulas perkembangan COVID-19 Sabah, Masidi berkata, sebanyak 393 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 218,342 kes, dengan tujuh kematian dilaporkan.
"Seramai 602 pesakit COVID-19 pula dilaporkan dan dibenarkan keluar hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah menjadikan jumlah kumulatif 207,601 orang sembuh, manakala seramai 1,867 pesakit masih menerima rawatan," katanya.
-- BERNAMA
#Sabah #kuarantin wajib #luar negara #Pintu Masuk Antarabangsa #Masidi Manjun #COVID-19
;