Sabah persiapkan diri terima 'tempias' pusat pentadbiran baharu Indonesia di Kalimantan - Shafie

Ruzaini Zulkepli
Ogos 10, 2019 19:15 MYT
SHAFIE: "Saya sudah melihat keuntungannya, saya mengambil kepada Jakarta amat dekat dengan Singapura dan limpahan kepada Singapura amat besar." - Gambar fail
Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik usaha Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang mengambil keputusan untuk memindahkan pusat pentadbiran republik itu dari Jakarta ke Kalimantan, tidak lama lagi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya kini bersedia untuk menerima 'tempias' ekonomi secara mapan dari pelbagai sudut memandangkan negeri itu bakal berjiran dengan ibu negara baharu Indonesia.
Tambahnya, beliau turut membayangkan industri ekonomi yang berkaitan bakal berkembang dan terlibat sama ketika Indonesia membangunkan Kalimantan.
"Anda pasti lihat limpahan (tempias) akan berada di sana, tetapi sudah tentu kita mesti menyiapkan diri juga, dunia sekarang sangat kompetetif kerana anda boleh bayangkan mereka akan membawa (melabur) berbilion wang untuk membangunkan kawasan ini.
"Bercakap tentang pelancongan, kita perlu tingkatkan kapasiti kita, keperluan untuk memastikan lebih banyak produk pelancongan, untuk memastikan kita juga dapat berkongsi dengan mereka yang akan datang untuk melawat Sabah dan juga Sarawak," katanya ketika ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Orang Asal Sedunia peringkat Sabah di Penampang, pada Sabtu.
BACA: Pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan bagai satu magnet yang kuat - Penganalisis
BACA: Pindah pusat pentadbiran dari Jakarta ke Kalimantan, Jokowi harapkan kerjasama Sabah, Sarawak
Presiden Indonesia itu dalam Wawancara Eksklusif bersama Astro AWANI berharap akan ada satu kerjasama rapat antara Sabah, Sarawak dan Indonesia susulan keputusan kerajaannya memindahkan pusat pentadbiran ke Kalimantan dari Jakarta.
Jokowi berkata, keputusan itu mampu memberikan satu impak positif dari segi ekonomi serantau terutamanya dua negeri di Malaysia itu, Sabah dan Sarawak yang berjiran dengan Kalimantan.
Sementara itu, Mohd Shafie dalam sidang media yang sama berkata, beliau yakin kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mampu memberikan acuan terbaik mengenai impak ekonomi berkenaan.
Tambahnya, pucuk pimpinan negara akan mengadakan rundingan dengan Jokowi berhubung pelaksanaan operasi bagi membangunkan Kalimantan dan apa yang mampu melibatkan Sabah kelak.
"Saya sudah melihat keuntungannya, saya mengambil contoh kepada Jakarta yang amat dekat dengan Singapura dan limpahan kepada Singapura amat besar.
"Saya fikir, kita harus menghargai kebolehan kita dan kita boleh maju bersama dalam situasi menang-menang," katanya lagi.
BACA: Sekali lagi Tun Mahathir pandu Jokowi, adakah kereta ASEAN bakal jadi realiti?
#Astro Awani #Indonesia #Jakarta #Joko Widodo #Kalimantan #Mahathir Mohamad #Mohd Shafie Apdal #pindah pusat pentadbiran #Shafie Apdal #Singapura
;