Sabah perluas sekatan perjalanan penumpang dari Korea Selatan mulai 1 Mac
Bernama
Februari 29, 2020 04:15 MYT
Februari 29, 2020 04:15 MYT
Warga negara asing dan rakyat Malaysia bukan penduduk Sabah dengan sejarah perjalanan ke Korea Selatan dalam tempoh 14 hari lepas tidak akan dibenarkan memasuki negeri ini berkuat kuasa hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong berkata mana-mana penduduk Sabah, penduduk tetap dan mereka yang menetap di Sabah menggunakan permit kerja, permit pelajar, pas lawatan sosial jangka panjang atau mana-mana perintah pengecualian, yang pulang dari Korea Selatan, wajib menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.
Perintah sekatan sementara untuk memasuki Sabah juga terpakai kepada semua penumpang transit dari atau melalui Korea Selatan, katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
"Walaupun setakat ini tiada seorang pun diuji positif COVID-19 di Sabah, namun, dalam usaha mengekang penularan COVID-19, kerajaan negeri memperluas sekatan perjalanan ke semua pintu masuk udara, laut mahupun darat berkuatkuasa 1 Mac," tambahnya.
Safar berkata, warga negara Korea Selatan yang masih berada di Sabah dinasihati untuk meninggalkan negeri berkenaan atau kembali ke tanah air mereka sebelum visa mereka tamat dengan hanya satu lanjutan visa untuk maksimum tujuh hari boleh diberikan.
Menurut Safar, penumpang warga negara Malaysia yang menaiki pesawat dari Korea Selatan dibenarkan masuk, begitu juga, tiada sekatan untuk penumpang warga Korea Selatan dan pengembara bukan warga Korea yang tiba dengan penerbangan bukan terus dari Korea Selatan.
Penerbangan keluar dari Sabah ke negara berkenaan turut dibenarkan.
-- BERNAMA
#COVID-19
#kerajaan negeri Sabah
#Korea
#Korea Selatan
#penerbangan
#penumpang
#pintu masuk
#rakyat Malaysia
#Safar Untong
#sekatan perjalanan
#Visa