Sabah perlu RM150 juta baik pulih jalan rosak - Bung Moktar

Fauzi Suhaimi
Januari 24, 2021 16:15 MYT
Bung Moktar berkata, peruntukan itu membabitkan lebih 100 jalan rosak termasuk jambatan runtuh akibat kejadian banjir. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya sebanyak RM150 juta bagi membaik pulih dan membaiki jalan rosak di seluruh negeri itu.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, peruntukan itu membabitkan lebih 100 jalan rosak termasuk jambatan runtuh akibat kejadian banjir.
"Susulan kejadian hujan lebat di negeri ini sejak beberapa hari lalu, lebih 100 jalan rosak termasuk jambatan runtuh dikesan.
"Namun, tindakan pantas Jabatan Kerja Raya (JKR) berjaya membaiki jalan dan jambatan berkenaan dan sehingga hari ini, sebanyak 17 lagi kawasan masih tidak boleh dilalui akibat kerosakan tersebut.
"Peruntukan itu kita akan usaha dan cari jalan sama ada akan meminta bantuan daripada Kerajaan Persekutuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan di kawasan tanah runtuh di tempat letak kenderaan berhampiran Taman Negara Gunung Kinabalu, Kundasang, Sabah, pada Ahad.
Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pihaknya bersama agensi terlibat akan melalukan kajian terperinci mengenai punca kejadian tanah runtuh.
Perkara itu menurut beliau, perlu dilakukan sebelum tindakan baik pulih dilaksanakan.
"Kerja-kerja baik pulih ini akan dilakukan, tetapi memerlukan sedikit masa kerana kita akan melakukan kajian terlebih dahulu khususnya melihat pergerakan tanah agar kejadian sama tidak berulang," katanya.
#Gunung Kinabalu #banjir #tanah runtuh #menteri #Sabah #Jalan rosak #hujan lebat #banjir sabah
;