Sabah perlu penyelesaian miskin tegar tersendiri - Mohd Shafie
Bernama
Jun 3, 2024 21:33 MYT
Jun 3, 2024 21:33 MYT
PAPAR: Definisi dan situasi miskin tegar di Sabah tidak sesuai untuk disamakan dengan Semenanjung dalam usaha mencari langkah penyelesaian tuntas isu itu di negeri berkenaan, kata Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Justeru, bekas Ketua Menteri itu berkata langkah dan pelan penyelesaian isu miskin tegar di Semenanjung tidak sepatutnya digunakan secara terus di Sabah sebaliknya kerajaan diharap dapat merangka strategi yang khusus untuk Negeri di Bawah Bayu.
"Perlu ada penelitian secara mendalam situasi ini... langkah terperinci perlu untuk kita bantu kumpulan sasar ini... kita tidak mahu nanti esok kita nyatakan jumlah miskin tegar telah dapat dihapuskan sedangkan ada lagi yang begitu daif di peringkat negeri," katanya selepas melawat Kampung Kuala Pantai Manis di sini hari ini.
Meskipun menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada sambutan Pesta Kaamatan pada Jumaat lepas mengenai langkah menghapuskan miskin tegar di Sabah sebelum Julai ini, Mohd Shafie berkata usaha menyeluruh perlu dilakukan kerana jumlah yang terlibat amat ramai.
Beliau berkata kemudahan untuk rakyat juga perlu dinilai dan dinaik taraf dalam merealisasikan langkah itu terutama melibatkan pendidikan serta kesihatan kerana Sabah jauh ketinggalan berbanding Semenanjung.
Anwar dalam ucapannya yakin sasaran itu mampu dicapai berikutan bilangan ketua isi rumah dalam kategori miskin tegar di Sabah berkurangan daripada 20,000 kepada 9,000 setakat ini.
Perdana Menteri berkata isu kemiskinan tegar di Sabah lebih serius berbanding negeri lain justeru, kerjasama bersepadu antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu diperkukuh ke arah menyelesaikan masalah tersebut.
-- BERNAMA