Sabah perlu kembali fokus, manfaatkan pembangunan Nusantara - Azri Ibrahim

Israr Khalid
Januari 11, 2023 04:40 MYT
Bangunan Sri Kinabalu yang menempatkan pejabat Ketua Menteri Sabah kembali jadi perhatian baru-baru ini susulan isu keabsahan sokongan terhadap Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan Sabah perlu kembali fokus untuk mentadbir dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat setelah selesainya kemelut kuasa di negeri itu.
Pada masa sama, Prof Madya Dr Azri Ibrahim melihat bahawa perkembangan terbaharu di Kalimantan di mana Indonesia sedang membangunkan ibu negara baharunya, Nusantara, harus diteroka.
Untuk itu, penyelidik Kajian Elektoral dan Geopolitik Borneo (GEOPES) Universiti Malaysia Sabah (UMS) (Politik Pembangunan & Dasar Awam) itu berkata, politik menentang harus diketepikan.
Katanya, kerajaan dan pembangkang harus menjalin kerjasama bagi memastikan segala yang dijanjikan kepada rakyat dapat dilunaskan.
“Kita berada dalam satu wilayah yang sama iaitu Borneo, jadi ini adalah peluang. Saya harap satu bentuk fokus kepada aspek pembangunan.
"Mungkin kekal wujud sentimen kepembangkangan atau persaingan, tetapi di sinilah kita harus menekankan aspek politik berjiwa besar,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Tegas Azri, para elit politik tidak harus terus mewujudkan keadaan yang kurang stabil dan konflik berpanjangan tetapi perlu memberikan tumpuan untuk membangunkan negeri.
Pertentangan boleh wujud dan perlu berlaku apabila masuk musim pilhan raya, namun, katanya, selesai proses itu mereka harus kembali kepada peranan utama menjadi wakil rakyat.
Sabah perlu kembali fokus, manfaatkan pembangunan Nusantara
#Agenda Awani #Sabah #Azri Ibrahim #politik menentang #kerjasama kerajaan dan pembangkang
;