Sabah perkasa belia melalui pelbagai program - Hajiji

Bernama
Ogos 12, 2024 05:20 MYT
Hajiji berkata belia adalah generasi masa depan yang akan meneruskan legasi pembangunan negeri, berperanan sebagai ejen perubahan,pencipta dan pemimpin masa hadapan. - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus melaksanakan pelbagai program yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan ekonomi belia, termasuk menyediakan latihan dan kursus kemahiran untuk memperkasa golongan tersebut, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya agenda pembangunan modal insan khususnya golongan muda akan terus diberi penekanan dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berminda kelas pertama.
"Sehubungan itu, saya mengajak semua pihak untuk terus bekerjasama dalam usaha memperkasakan belia Sabah. Semua pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat perlu berganding bahu untuk mencipta peluang dan menyediakan sokongan yang diperlukan oleh belia," katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Sabah, Sidang II, Penggal Ke-34, Tahun 2022-2024 di sini semalam. Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Belia dan Sukan negeri Datuk Ellron Angin.
Hajiji berkata belia adalah generasi masa depan yang akan meneruskan legasi pembangunan negeri, berperanan sebagai ejen perubahan,pencipta dan pemimpin masa hadapan.
"Adalah penting untuk kita memberikan mereka platform yang sesuai untuk berkembang dan memberi sumbangan. Dengan sokongan yang tepat, belia dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan ekonomi, sosial, dan budaya negeri kita," katanya.
Beliau berkata Sabah telah mengalami pelbagai pencapaian dalam pembangunan belia.
"Program latihan kemahiran, inisiatif keusahawanan, dan aktiviti sosial telah memberikan impak positif kepada ramai belia negeri ini. Namun katanya, antara cabaran yang wujud termasuklah kekurangan peluang pekerjaan, isu pendidikan, dan kekurangan infrastruktur yang menyokong perkembangan belia, yang kini giat ditangani oleh kerajaan.
Hajiji berkata antara inisiatif yang dilaksanakan dalam konteks peluang keusahawanan, termasuk kursus kemahiran, pemberian geran dan dana, serta program latihan keusahawanan melalui Program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) bagi menggalakkan belia menceburi bidang perniagaan untuk menjana pendapatan dan ekonomi.
"Saya berharap lebih banyak isu berkaitan kepentingan dan keperluan belia di Sabah akan dikupas dalam persidangan ini untuk diangkat pada Majlis Perundingan Belia Negara peringkat kebangsaan agar belia Sabah tidak ketinggalan, sebaliknya seiring dengan belia lain di negara ini," tambahnya.
-- BERNAMA
#Belia #Hajiji Noor #keusahawanan #modal insan
;