Sabah Memilih: Siapkan Pan Borneo segera demi kelangsungan hidup rakyat

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Ogos 16, 2020 13:47 MYT
Projek Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 5,324 kilometer yang merentasi dua negeri Sabah dan Sarawak diharap dapat disiapkan lebih awal dari tempoh baharu yang diumumkan bulan lalu. - Gambar fail
Projek Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 5,324 kilometer yang merentasi dua negeri Sabah dan Sarawak diharap dapat disiapkan lebih awal dari tempoh baharu yang diumumkan bulan lalu.
Bagi penduduk di daerah Papar yang menjadi salah satu jajaran lebuh raya tersebut, mereka berharap ia dapat disiapkan secepat mungkin demi kelangsungan hidup penduduk sekitar.
Menurut pengguna jalan raya, Persella Philips, 24, dia sangat berpuas hati dengan pembangunan projek di daerah itu.
"Selalu juga jalan di sana, jadi saya nampak perubahan jalan di sana. Masa mula-mula dahulu agak keliru, sebab ada dua lorong yang belum ada papan tanda, itu yang jadi sebab berlaku kemalangan yang kita dengar sebelum ini.
"Sekarang ini nampak lebih baik, ada yang sudah siap ada yang belum siap," katanya yang ditemui semasa tinjauan pengguna jalan raya dan peniaga di daerah ini pada Sabtu.
Dua bulan lalu beberapa kes kemalangan dilapor berlaku di jajaran lebuh raya di daerah tersebut yang turut mengorbankan nyawa.
Persella turut menyarankan kepada pihak berwajib agar melantik sebuah syarikat pengendali sahaja bagi memudahkan pemantauan projek.
Dalam masa yanng sama, menurut seorang peniaga buah-buahan yang membuka gerai jualan di tepi jalan utama Papar-Kota Kinabalu turut menyambut usaha projek mega tersebut namun bimbang tentang apa yang bakal terjadi terhadap perniagaan apabila projek itu selesai.
Menurut Welter Lainor, 44, dia sangat berharap agar pihak berkuasa atau mereka yang terbabit dengan pembangunan projek itu dapat memikirkan sesuatu tentang penempatan semula gerai jualannya.
"Bagi kami sebagai peniaga, buat masa ini belum terjejas dengan ketara kerana lebuh raya ini belum dibuka.
"Orang ramai masih menggunakan jalan lama ini, tetapi kalau ia sudah dibuka nanti ini mungkin akan beri kesan sangat besar sebab kami tiada penempatan yang tetap.
"Apabila ada penghadang jalan kelak, para pengguna lebuh raya juga tidak boleh parkir di bahu jalan dan terpaksa buat pusingan-U dalam dua atau tiga kilometer dari sini," katanya.
Menjawab keluh kesah mereka yang ditemui, Astro AWANI berjumpa Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan bagi mendapatkan reaksi beliau.
Beliau akui, kemajuan projek yang agak perlahan telah sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan penduduk, peniaga serta pengguna jalan raya.
"Sebetulnya apabila pembinaan Pan Borneo ini bermula, sememangnya ia jadi satu pembangunan yang sangat dialu-alukan oleh orang Sabah kerana ini satu projek mega yang belum kami kecapi seperti di Semenanjung.
"Apabila pelaksanaannya terbantut atau perlahan menyebabkan bermacam-macam masalah yang dihadapi oleh orang kampung.
"Misalnya banjir, banjir kilat, penanaman padi jugak terjejas disebabkan oleh pengaliran air yang tidak menentu disebabkan oleh pembinaan Pan Borneo.
"Ada antaranya seperti pemilihan pembetung yang seharusnya menggunakan saiz yang besar, tetapi yang dipasang yang kecil.
"Ertinya mereka hanya membuat mengikut perancangan pada peringkat awal tetapi tidak secara fizikal dia dengan mengambil kira faktor sekeliling," jelasnya.
Tegas Ahmad sebagai wakil rakyat beliau menggesa pihak terbabit dengan projek mega itu agar menyemak semula pelan projek dan mempercepat proses pembinaan.
"Cara penyelesaian terbaiknya adalah mereka harus semak semula mereka punya reka bentuk, itu yang paling baik, kedua mereka percepatkan proses pelaksanaannya, ini yang paling penting," tegasnya.
#Astro Awani #Papar #Parlimen #pemilihan #peniaga #Persella Philips #Projek lebuhraya Pan Borneo #rakyat #Sabah Memilih
;