Sabah Memilih: Shafie Apdal dedah geran tanah diperoleh lambat

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Ogos 12, 2020 14:37 MYT
Tegas Mohd Shafie, terdapat juga langkah yang diambil kerajaan ketika itu yang menurunkan klasifikasi hutan simpan bagi tujuan pembalakan. - Foto Astro AWANI
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendedahkan punca kelewatan proses pewartaan dan penyerahan geran tanah kepada penduduk kampung adalah berpunca dari pentadbiran sebelum ini.
Beliau mendakwa terdapat usaha dari kepimpinan kerajaan negeri yang seolah-olah sengaja melengahkan proses tersebut.
Tegas Mohd Shafie, terdapat juga langkah yang diambil kerajaan ketika itu yang menurunkan klasifikasi hutan simpan bagi tujuan pembalakan.
"Kerajaan negeri dulu ambil kampung mereka itu mereka wartakan sebagai hutan simpan, pasal apa dia simpan jadi hutan simpan?
"Kerana jumlah untuk memenuhi syarat-syarat hutan simpan kita ada perjanjian berapa peratus dari tanah di negeri Sabah ini, it must be under forest reserve.
"Ada kadang-kadang tu first class reserved diklasifikasikan sebagai third class, untuk boleh potong kayunya dan itu langkah yang telah digunakan," katanya yang ditemui selepas menyerahkan 399 geran tanah kepada 121 wakil penduduk dan individu di sini, pada Rabu.
Tambah Mohd Shafie, terdapat perkampungan-perkampungan lama sebelum pewartaan hutan simpan dibuat namun tiada pembelaan diberi kepada penduduk.
"Ada setengah-setengah kampung di Tongod, di Ranau, Kota Marudu yang sudah ada perkampungan lama di situ, tetapi tidak ada title mereka dan ini mengambil masa, sehinggalah kita mewartakan kampung itu menjadi satu kampung.
"Maka mereka mempunyai milik kepada tanah yang ada dan proses-proses ini dilambat-lambatkan dan ada di antara mereka yang dah pun memohon tanah di Semporna 60 tahun, 40 tahun, tetapi jadi simpanan dan letak situ sahaja, kerana ada rancangan tertentu dan pihak-pihak tertentu.
"Bukan saya mahu menuduh tetapi ini berlaku tentang perkara ini sehingga terbantut la usaha masyarakat kita, bukan hanya zaman pemerintahan UMNO, PBS juga dulu ada berlaku, ada 40 tahun, 60 tahun, ada yang mengambil masa.
Tambah Mohd Shafie, selepas mengambil tampuk pemerintahan pada 2018, usaha membantu penduduk kampung digerakkan pentadbiran sebelum ini.
"Alhamdulillah kita mempunyai pendekatan dengan mempercepatkan penggunaan dasar lebih jelas dan saya bawa ke Dewan Undangan Negeri. Rang undang-undang saya bentangkan supaya diwarta perkampunagn ini sebagai satu kawasan bersesuaian untuk diberi hak milik kepada penduduk kampung."
Jelasnya lagi bermula 2019 sehingga kini lebih 10,000 hektar tanah telah diserahkan kepada anak negeri.
#Dewan Undangan Negeri #hutan simpan #Ketua Menteri Sabah #Mohd Shafie Apdal #PBS #pembalakan #RUU #Semporna #UMNO
;