Sabah Memilih: Kerajaan janji tambah baik kelajuan internet di Sabah

Syah Hairizal Kamalul Arifin, Ruzaini Zulkepli
Ogos 29, 2020 15:34 MYT
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan Negeri Sabah di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah, hari ini. - Foto BERNAMA
Kerajaan Persekutuan berjanji untuk menambah baik kelajuan Internet di Sabah dalam tempoh terdekat.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merujuk kepada insiden 'pelajar universiti' di kawasan pedalaman Sabah yang terpaksa memanjat pokok baru-baru ini, jelasnya penambahbaikan itu bakal disegerakan.
"Cerita tentang seorang pelajar wanita terpaksa panjat pokok, tidur malam untuk menyelesaikan homework (kerja rumanya), cari sambungan wifi... itu satu cerita (yang) agak menyedihkan.
"Ia merupakan cerminan kepada salah sebuah kawasan di dalam negara. Saya berjanji hari ini selepas mengadakan pertemuan dengan kalangan penjawat awam, kita akan meningkatkan kelajuan proses hubungan (Internet) di Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena Majlis Perjumpaan Pimpinan Masyarakat Negeri Sabah bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, pada malam Sabtu.
Pada Julai lalu, Astro AWANI melaporkan isu pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin, yang terpaksa membuat pondok di atas pokok di sebuah bukit berhampiran penempatannya di Kampung Sapatalang, Pitas, untuk mendapatkan akses internet dan jalur lebar.
Pelajar jurusan Asasi Sains itu kemudiannya memuat naik sebuah video kesanggupannya berteduh dan bermalam di pondok berkenaan bertukar tular dan mendapat reaksi pelbagai pihak di negara ini.
Veveonah terpaksa berbuat demikian kerana menghadapi kertas ujian menggunakan akses laman maya di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
#kelajuan internet #Muhyiddin Yassin #panjat pokok #pelajar universiti #Perdana Menteri #Sabah #Veveonah Mosibin