Sabah Memilih: 'Kampung kami umpama pulau jika hujan lebat' - Penduduk Kota Belud

Assim Hassan
Ogos 25, 2020 10:00 MYT
Setiap kali hujan lebat, penduduk Kampung Gunding seperti tinggal di sebuah pulau. - Astro AWANI
Setiap kali hujan lebat, penduduk di beberapa buah kampung di Kota Belud akan mula resah.
Risau akan keselamatan diri mahupun harta benda selain bersiap siaga berdepan ancaman banjir.
Malah, sejak 2017 hingga Jun tahun ini, sebanyak 37 kejadian banjir dicatatkan melanda ribuan rumah di daerah itu.
Bagi Ketua Kampung Gunding, Kota Belud, Rahmat Kassim berkata ancaman banjir itu merencatkan pergerakan penduduk di kampung tersebut.
Tidak keterlaluan, kata Rahmat, setiap kali hujan lebat, penduduk Kampung Gunding seperti tinggal di sebuah pulau.
"Masalah ini berpunca daripada masalah saliran. Pemparitan di kampung ini tidak sistematik dan tidak diurus dengan baik.
"Selain itu, masalah banjir di kampung ini juga berpunca daripada sungai yang cetek. Jika hujan lebat sudah pasti akan ada ancaman banjir.
"Situasi ini akan berulang jika tiada penyelesaian tuntas," katanya ketika ditemui di Kampung Gunding, di sini.
Pandangan sama turut disokong Ketua Kampung Linau-Liang, Maksul Manang yang menyifatkan sungai di Kota Belud tidak lagi boleh menampung tadahan air ekoran pasir-pasir yang menimbun.
"Sejak gempa bumi 2015, keadaan bertambah buruk kerana pasir-pasir dihanyutkan dari hulu ke muara menyebabkan sungai menjadi cetek.
"Ia turut ditambah dengan sistem pemparitan di kawasan kampung yang tidak terurus dan tersumbat," katanya.
Melihat kepada masalah itu, seorang penduduk Kampung Timbang Padang, Abdul Manan Suis berharap pihak berwajib melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan kebajikan masyarakat di kawasan tersebut.
Katanya, isu politik perlu diketepikan dan siapa sahaja yang mentadbir negara ini perlu segera membantu mereka keluar dari kemelut berkenaan.
"Bencana banjir ini merugikan rakyat apatah lagi penduduk kampung macam kami yang bekerja sebagai pekebun.
"Sayuran yang kami tanam musnah sekelip mata jika dilanda banjir.
"Itulah saya harap kerajaan siapa sahaja yang mentadbir negara ini bantulah orang yang terjejas akibat banjir ini," rayunya.
Seorang lagi penduduk Kampung Gunding, Mohd Rizal Mohd Gafar turut memberi cadangan kepada kerajaan supaya melakukan proses pendalaman sungai dengan mengorek pasir yang tertimbus di Muara Sungai Abai, Kawang-Kawang dan Tempasuk dengan kadar segera.
"Perkara ini perlu diambil perhatian segera oleh Kerajaan Pusat. Kami di kampung ini amat terkesan setiap kali hujan lebat dan banjir.
"Perkara itu memaksa penduduk menanggung kerugian," katanya.
#banjir #harta benda #Kampung Gunding #Kampung Linau-Liang #Kampung Timbang Padang #Kota Belud #pemparitan #PRN Sabah #Sabah Memilih #sungai cetek
;