Sabah Memilih: Jangan ketepikan potensi wanita

Assim Hassan
Ogos 20, 2020 16:33 MYT
Usaha membangunkan golongan wanita perlu diperhebatkan kerajaan dalam memastikan golongan itu tidak terpinggir.
Bukan itu sahaja, peluang seperti dana, bantuan dan tajaan kursus-kursus wajar diperbanyakkan bagi mempertingkatkan kemahiran kaum wanita.
Ini merupakan aspirasi wanita-wanita muda di Sabah terutama di Beaufort.
Bagi pembantu farmasi, Rosmiati Rostam, sudah sampai masanya wanita di Sabah bijak merebut peluang untuk membangunkan diri sendiri.
‘Kerjaya’ sebagai suri rumah juga kata Rosmiati, tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mengembangkan kemahiran.
“Kita sebagai wanita lebih-lebih lagi macam saya masih muda mesti bersedia untuk berdaya saing dengan wanita lain.
Oleh itu kita mesti meningkatkan kita punya potensi dalam bidang pekerjaaan kalau boleh sekarang,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Pekan Beaufort pada Khamis.
Selain itu Rosmiati turut menggesa golongan suri rumah untuk memulakan langkah membuat perniagaan atas talian.
Langkah itu katanya, boleh meningkatkan potensi diri seseorang.
Selain itu, bagi pemilik Kedai Kek Al-Walid, Noor Fitri Aini Mohd Zainal, kursus-kursus tajaan kerajaan perlu menyeluruh bagi membantu para peniaga yang ingin mempertingkatkan kemahiran.
Menurutnya, melalui kursus-kursus yang diikuti akan menambah keyakinan seseorang wanita itu untuk memperluaskan perniagaannya.
“Memang ada kursus percuma tetapi lebih kepada kursus solekan dan tidak melibatkan pengurusan atau penyediaan makanan.
“Kalau di Beaufort ni kalau jual makanan memang mendapat sambutan. Jika ada kemahiran, orang tidak boleh pertikaikan,” kata Noor Fitri Aini lagi.
#bantuan dana #kemahiran kaum wanita #kursus-kursus #perniagaan #potensi kaum wanita #Sabah Memilih
;