Sabah Memilih: Isu jaringan internet perlu diselesaikan bagi rancakkan ekonomi gig
Nursyazwani Saiful Sham
Ogos 24, 2020 09:00 MYT
Ogos 24, 2020 09:00 MYT
Bagi merancakkan ekonomi gig di Sabah, kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan infrastruktur internet di negeri itu.
Ini kerana, menurut Pensyarah Kanan (Dasar Awam) UiTM Sabah, Dr Firdausi Suffian, Sabah kini berdepan jaringan internet terhad terutamanya di kawasan pedalaman.
Ia sekali gus membantutkan peluang anak muda untuk menerokai sektor tersebut.
"Kita mahu menggalakkan ekonomi gig dalam kalangan anak muda di Sabah tetapi jaringan internet yang ada menjadi isu utama terutamanya di kawasan pedalaman.
"Contohnya kita dapat lihat antara isu yang hangat dibualkan adalah pelajar yang ketinggalan dalam pelajaran ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana jaringan internet yang terhad.
"Ini adalah satu isu besar, jadi untuk kembangkan ekonomi gig di negeri ini, ekosistem itu perlu wujud," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Dalam pada itu, Dr Firdausi mencadangkan agar dasar industrialisasi ekonomi Sabah diwujudkan bagi mengembangkan industri hiliran sedia ada di negeri itu.
"Sebenarnya ekonomi gig di negeri ini tidak akan berkembang sekiranya industri di sabah tidak berkembang dan salah satu isu yang merisaukan adalah industri hiliran.
"Justeru sempena Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan berlangsung tidak lama lagi, saya syorkan kepada mana-mana parti politik yang akan mentadbir nanti untuk mewujudkan dasar industrialisasi ekonomi Sabah.
"Ini kerana melalui dasar ini, kita dapat mewujudkan industri hiliran dan seterusnya ktia dapat mengembangkan lagi industri tersebut," jelasnya.