Sabah Memilih: Dua kali PRU, peniaga masih tak dibela
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Ogos 11, 2020 13:37 MYT
Ogos 11, 2020 13:37 MYT
"Tiada apa yang boleh diharapkan kerana tidak pernah ada perubahan."
Itu luahan peniaga gerai makanan, Mositon Moss, 60, yang mengakui telah menjadi peniaga hampir 10 tahun.
Ujarnya, setiap kali Pilihan Raya Umum, calon-calon parti yang bertanding akan mudah ditemui selain datang bersama kad dan manifesto mereka.
"Tetapi bila habis pilihan raya, semua kembali kepada keadaan biasa, tiada perubahan atau bantuan diberikan.
"Jadi saya tidak tahu apa yang boleh saya harapkan lagi pada piliihan raya kali ini," katanya yang ditemui dalam tinjauan Astro AWANI melibatkan peniaga-peniaga kecil di Putatan pada Selasa.
Menurut Mositon bukan tiada usaha yang dibuatnya bagi mendapatkan bantuan pihak kerajaan, namun kerenah birokrasi merencatkan usahanya itu.
"Bukan saya tidak memohon, saya mohon tapi permohonan saya ditolak. Bila sudah ditolak, saya tanya kepada mereka kenapa permohonan saya ditolak, mereka hanya jawap saya tidak layak.
"Saya peniaga kecil, kedai pun kecil, perniagaan bagaimana lagi yang boleh buat saya layak dapat bantuan?" soalnya.
Jelas Mositon, sepanjang tempoh perniagaannya, dia pernah mendapat pinjaman daripada sebuah sebuah agensi pemberi pinjaman milik kerajaan.
"Saya pernah membuat pinjaman kecil dan permohonan lulus. Saya ada bercadang untuk memohon semula untuk mengembangkan perniagaan tetapi saya batalkan niat saya.
"Semuanya sebab birokrasi dari agensi tersebut, permohonan yang lama itu pun memakan masa yang lama untuk lulus. Saya bukan berniaga guna payung, saya sewa kedai dan dokumen saya lengkap," keluhnya.
Jelas Mositon lagi, apabila segala usaha untuk mendapatkan bantuan pinjaman gagal, dia tetap meneruskan niat mengembangkan perniagaan dengan modal sendiri.
"Kita tidak minta ditanya samada perniagaan baik atau tidak oleh mana-mana pihak tetapi memang tiada yang mahu bertanya pun.
"Saya usaha sendiri dan simpan duit sikit-sikit. Memang memakan masa yang lama tetapi, Alhamdulillah saya dapat kembangkan perniagaan dan buka kedai jahit pula," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong dalam reaksinya kepada luahan itu mengakui tidak pernah menerima sebarang aduan daripada peniaga tersebut ataupun di sekitar kawasan perniagaan itu.
Namun Junz berjanji akan meneliti isu yang dibangkitkan peniaga terbabit dan akan mengambil tindakan setelah mengenalpasti jalan terbaik bagi membela nasib peniaga-peniaga kecil di daerah itu.
“Kerajaan negeri sebelum ini telah mengumumkan pelbagai pakej bantuan kepada rakyat termasuk kepada peniaga.
“Jadi saya berharap agar orang ramai dapat berhubung terus dengan mana-mana pusat khidmat bagi mendapatkan penjelasan dan cara mendapatkan bantuan yang disediakan oleh kerajaan negeri,” katanya.
#bantuan kepada peniaga
#keluhan peniaga
#peniaga di Sabah
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#PRN Sabah
#SABAHMEMILIH