Sabah Memilih: Bantuan kepada usahawan tidak menyeluruh - GMB
Nursyazwani Saiful Sham
Ogos 11, 2020 06:35 MYT
Ogos 11, 2020 06:35 MYT
Bantuan yang disalurkan oleh kerajaan negeri kepada para usahawan di Sabah didakwa tidak menyeluruh.
Menurut Naib Presiden Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB), Idzrul Azraai Mohd Idrus, ada usahawan yang tidak mendapat bantuan yang disalurkan dan sukar untuk meneruskan perusahaan mereka.
Justeru, jelasnya, kerajaan negeri perlu mempunyai sistem pangkalan data yang memberikan pentakrifan yang jelas agar bantuan diberikan kepada para usahawan dengan mudah.
"Bantuan yang diberikan kerajaan negeri adalah tidak menyeluruh dan ia hanya cantik secara dasar tetapi pelaksanaannya adalah tidak menyeluruh.
"Ada usahawan yang dapat dan ada yang tidak dapat dan itu yang membuatkan usahawan bingung jadi kerajaan negeri memerlukan pentakrifan yang jelas.
"Jadi pada peringkat pembangunan, kerajaan negeri memerlukan sistem pangkalan data," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.
Malah, jelas Idzrul, perhatian khusus juga perlu diberikan oleh kerajaan negeri kepada para usahawan bagi membimbing mereka mengembangkan perniagaan terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri itu.
"Apa yang para usahawan mahu adalah perhatian khusus bagi mereka kerana mereka berdepan beberapa peringkat dalam bidang ini.
"Usahawan memerlukan panduan dan kerajaan serta agensi terlibat harus membantu mereka untuk terus berkembang dan ia juga perlu diberikan oleh ahli politik.
"Ini kerana usahawan adalah tonggak utama Sabah menjana ekonomi," jelansya.
Pada masa sama, Idzrul turut menggesa agar usahawan di Sabah menggunakan platform pendigitalan agar usahawan dapat menjana pendapatan lebih.
#bantuan
#digital
#ekonomi
#GMB
#Idzrul Azraai Mohd Idrus
#IKS
#kerajaan negeri
#pangkalan data
#pendapatan
#pentakrifan
#perniagaan
#perusahaan kecil dan sederhana
#PKS
#Sabah
#sistem pangkalan data
#usahawan