Sabah mansuh geran komunal, laksana geran persendirian
Fifi Harteeny Marzuki
Ogos 8, 2018 20:19 MYT
Ogos 8, 2018 20:19 MYT
Pemberian tanah menerusi geran komunal dimansuhkan dan akan digantikan dengan pendekatan baharu iaitu geran individu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pemansuhan geran itu membolehkan geran tanah akan dimiliki secara individu dan bukan lagi secara berkumpulan seperti dalam geran komunal.
"Kita akan laksanakan satu sistem pemberian geran tanah yang baru bagi memastikan pemberian geran itu lebih khusus kepada individu dan bukan lagi secara berkumpulan seperti sebelum ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, pada Rabu.
Tambah Mohd Shafie, kerajaan negeri juga telah menggariskan empat pendekatan baru dalam pengeluaran geran individu berkenaan iaitu pertama, geran individu akan meletakkan hanya seorang sahaja sebagai pemilik.
Manakala kedua katanya, apabila pengeluaran geran individu, usahasama boleh diteruskan namun tertakluk kepada rundingan semula ke atas syarat-syarat usahasama.
Perkara ketiga adalah bagi geran individu yang diperolehi, pemilik tidak boleh mencagar tanah ke bank dan keempat, pemilik geran individu tidak diberi kuasa perundangan dalam urusan jual beli tanah (power of attorney).
Jelas Mohd Shafie, pembaharuan itu juga adalah sebagai perlindungan kepada pemilik tanah agar tidak timbul tuntutan bertindih.
"Pembaharuan ini adalah sebagai perlindungan ke atas pemilik tanah agar tidak wujud tuntutan bertindih berkaitan dengan urusan geran tanah," katanya.
#geran individu
#geran komunal
#Ketua Menteri Sabah
#Mohd Shafie Apdal
#rakyat
#Sabah
#Shafie Apdal
#sistem pemberian