Sabah mampu dibangunkan dengan baik jika tiada ketirisan berlaku - PM Anwar

Bernama
Oktober 19, 2024 19:30 MYT
Anwar ketika berucap merasmikan Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Likas hari ini. -- fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Sabah mampu dibangunkan dengan baik secara bersama apabila tiada ketirisan berlaku terutama dalam pelbagai bentuk bantuan dan projek pembangunan yang disalurkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata usaha memajukan Sabah ini tidak mudah, tetapi beliau percaya dengan kerjasama semua pihak, terutama menerusi perpaduan kukuh rakyat Sabah yang berbilang latar belakang, akan dapat membawa negeri ini ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang.
"Kita hentikan amalan buruk... ada tanah nak curi, ada balak nak rompak, ada kontrak nak sapu.
"Kalau itu boleh kita hentikan dan tumpu kasih (pada) negara, takut Allah, jaga nilai dan akhlak saya percaya Sabah tidak lama, beberapa tahun lihat lonjakan negeri maju," katanya berucap merasmikan Program MADANI Rakyat 2024 Sayangi Sabah di Likas di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Pengangkutan Anthony Loke; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan negeri Sabah.
Anwar berkata dalam Belanjawan 2025, peruntukan untuk Sabah adalah tertinggi berbanding negeri lain bagi memastikan rakyat diberikan bantuan sepatutnya dan infrastruktur awam seperti Lebuh Raya Pan Borneo dapat disiapkan dengan secepat mungkin.
"Jalan pedalaman dibaiki, sekolah, fasiliti kesihatan ditambah baik. Ini yang kita lakukan sebagai pasukan, menteri, penjawat awam buat, mana-mana kelemahan diperbaiki.
"Pegawai lembab kita kejutkan. (Jika) Ini dapat dibuat, kita akan dapat majukan Sabah," katanya.
Perdana Menteri berkata dalam usaha memajukan Sabah, beliau telah menyarankan kepada Hajiji supaya kerajaan negeri melaksanakan program Kampung Angkat MADANI, seperti mana yang telah dilakukan oleh menteri-menteri di peringkat Persekutuan.
Dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Anwar yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat semalam, peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak terus diberikan keutamaan apabila menjadi antara yang tertinggi bagi negeri-negeri iaitu masing-masing RM6.7 bilion dan RM5.9 bilion.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Hajiji Noor #Sabah #ketirisan #terkini
;