Sabah Maju Jaya: Kerajaan negeri fokus bangunkan, perbaiki keperluan asas

Madiha Abdullah
Mac 10, 2025 23:00 MYT
Hajiji berkata pihaknya akan membincangkan inisiatif lain untuk terus membantu penduduk miskin. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri telah berjaya menghapuskan golongan miskin tegar di Sabah dengan bantuan daripada kerajaan persekutuan.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya akan membincangkan inisiatif lain untuk terus membantu penduduk miskin, yang akan diumumkan selepas persidangan Dewan Undangan Negeri.
"Di negara maju pun masih ramai miskin, apa lagi kita di Sabah yang dianggap salah satu negeri yang agak ke terbelakang.
"Tetapi inilah cabaran dan hala tuju kita ialah mahu melonjakkan kedudukan Sabah yang di bawah itu naik ke atas," katanya ketika muncul dalam program Agenda AWANI khas, pada Isnin.
Katanya, agenda pembangunan Sabah melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kini berada di landasan yang betul dan menampakkan hasil positif, termasuklah membabitkan isu asas pembangunan seperti air dan elektrik.
Kerajaan telah meluluskan lebih 1,000 megawatt tambahan bagi menangani keperluan elektrik yang meningkat serta projek mini hidro solar dan turbin angin, dengan matlamat untuk menyelesaikan masalah elektrik dalam tempoh dua tahun.
"Dengan kemasukan pelabur, permintaan penggunaan elektrik ini telah bertambah. Jadi, apabila Kerajaan Persekutuan turunkan kuasa Suruhanjaya Tenaga untuk negeri Sabah tahun lepas, kita sudah luluskan lebih 1,000 megawat sebagai tambahan, selain projek mini hydro solar dan wind turbine.
"Saya jangka dalam masa dua tahun dari sekarang, masalah elektrik ini boleh selesai," katanya lagi.
Justeru, beliau menyeru semua pihak menumpukan pada pembangunan rakyat dan negeri dan melupakan perbezaan politik, sekali gus memastikan setiap usaha berjaya membuahkan hasil seperti yang diharapkan.
"Kita tumpukan kepada satu hakikat, tujuan bersama untuk membangun rakyat dan juga negeri kita.
"Kerana itulah apabila saya menjadi ketua menteri, saya minta semua parti-parti bergabung. Untuk apa kita gaduh, kita mahu ada kestabilan politik," ujarnya.
#Sabah #Hajiji Noor #keperluan asas #pembangunan
;