Sabah Maju Jaya: Isu perumahan, masalah setinggan dapat perhatian
Madiha Abdullah
Mac 10, 2025 07:00 MYT
Mac 10, 2025 07:00 MYT
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri Sabah merancang menjadikan kawasan setinggan di lokasi tertentu sebagai kampung, dengan menyediakan kemudahan asas termasuk jalan, bekalan air dan elektrik. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Masalah perumahan antara perkara asas yang mahu ditangani kerajaan negeri Sabah, khususnya dalam usaha memberi penempatan dan kediaman selesa untuk mereka yang berpendapatan rendah.
Hajiji berkata, penduduk luar bandar yang berpindah ke bandar menghadapi masalah penempatan dan sewa yang tinggi, yang akhirnya menyumbang kepada lambakan perumahan setinggan.
Justeru, satu program bertujuan untuk menyediakan rumah PPR atau rumah mampu milik di bawah selenggara kerajaan negeri dilaksana untuk individu yang layak.
Inisiatif yang dipanggil Rumah Mesra SMJ di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah berjaya menyediakan 4,000 buah rumah untuk rakyat Sabah, selepas dilancarkan dua tahun lalu.
Kerajaan negeri juga katanya, merancang untuk menjadikan kawasan setinggan di lokasi tertentu diisytiharkan sebagai kampung, dengan menyediakan kemudahan asas termasuk jalan, bekalan air dan elektrik.
"Bagi penempatan setinggan, kita ada pendekatan yang lain, kawasan-kawasan setinggan yang didiami warga tempatan itu kita akan warta sebagai kampung.
"Jadi mereka tidak lagi dianggap setinggan, kita akan bagi kemudahan seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan sebagainya," katanya ketika muncul dalam program Agenda AWANI khas, pada Isnin.
Sementara itu, kerajaan negeri akan menubuhkan Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat, bertujuan meningkatkan pendapatan negeri dan memberi peluang kepada rakyat menyertai ekonomi biru.
Kata Hajiji, taman seluas sehingga 5,000 ekar itu telah berjaya menarik minat pelabur dari seluruh negara untuk turut sama terlibat.
Ekonomi biru yang merujuk penggunaan sumber laut dan pantai yang mampan bagi mencapai pembangunan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan sosial tanpa menjejaskan alam sekitar, berpotensi membawa hasil kira-kira RM3.25 bilion kepada Sabah.
Sabah juga merancang untuk membangunkan penukaran tenaga haba lautan, menghasilkan tenaga boleh diperbaharui antara lautan panas dan sejuk, dan berpotensi menjualnya ke utara Kalimantan, Indonesia.
"Kita ada rancangan untuk bangunkan Ocean Thermal Energy Conversion yang boleh menghasilkan tenaga boleh baharu antara haba lautan yang panas dengan yang sejuk di bawah.
"Saya sudah arahkan sekretariat melawat Okinawa, Jepun dan kita akan bawa teknologi itu di sini. Kalau kita boleh hasilkan ini, kita mungkin ada kelebihan dan jual kepada mereka di utara Kalimantan Indonesia," katanya.