Sabah mahu pelajar ceburi pendidikan STEM, capai sasaran 40 peratus menjelang 2050

Bernama
Februari 24, 2024 16:38 MYT
Hajiji berkata pelan itu antara lain dirangka sebagai panduan untuk melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi memperkasakan ekosistem sains, teknologi, inovasi dan ekonomi di Sabah. -Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu sebahagian besar populasi pelajar sekolah di negeri itu menceburi pendidikan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata ini penting bagi memastikan sasaran 40 peratus pelajar sekolah berada dalam aliran sains seperti ditetapkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dalam Pelan Strategik 2022-2025 tercapai menjelang 2025.
Hajiji berkata pelan itu antara lain dirangka sebagai panduan untuk melaksanakan pelbagai program dan inisiatif bagi memperkasakan ekosistem sains, teknologi, inovasi dan ekonomi di Sabah.
"Dengan sasaran ini, adalah menjadi lebih penting bagi Sabah untuk mempunyai institusi pengajian tinggi berkualiti dalam usaha menyediakan kelayakan pengajian tinggi berkaitan STEM yang cemerlang untuk pelajar di negeri ini," katanya ketika berucap merasmikan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) cawangan Sabah, di sini, hari ini.
Ketua Menteri berkata pembukaan TAR UMT di Sabah adalah bertepatan dengan aspirasi kerajaan negeri untuk membangunkan modal insan berkualiti, yang menjadi antara tiga teras utama digariskan dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Hajiji menyambut baik inisiatif pengurusan tertinggi TAR UMT dalam mengembangkan sayap ke Sabah sekali gus bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam pembangunan pendidikan termasuk memberi peluang dan pilihan kepada anak-anak Sabah untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tanpa perlu meninggalkan negeri itu.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan Sabah telah mewujudkan pelbagai insentif bagi membantu beban kewangan pelajar Sabah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti Biasiswa Pelajar Cemerlang Sabah, Biasiswa Pelajar Luar Bandar Cemerlang, biasiswa institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta dermasiswa melalui Yayasan Sabah.
"Pada 2022, kerajaan negeri mengutip RM55.7 juta untuk menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah. Sehingga Disember 2023, lebih 2,800 pelajar yang mengikuti pengajian tinggi di Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan luar negara telah menerima bantuan kewangan daripada TPNS.
"Saya gembira mengetahui bahawa dalam kumpulan penerima ini, 12 daripadanya adalah pelajar TAR UMT," katanya.
Ketua Menteri berkata pendidikan adalah tunjang kemajuan serta pembangunan negeri, justeru menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan anak-anak Sabah mendapat pendidikan terbaik kerana modal insan adalah aset paling besar.
"Dengan melabur dalam pendidikan, latihan dan pembangunan kemahiran, kita menyasarkan untuk menyediakan penduduk untuk menghadapi cabaran dan peluang masa depan," katanya.
-- BERNAMA
#Hajiji Noor #STEM #TAR UMT #pelajar sekolah
;