Sabah larang kunjung-mengunjung, ziarah tanah perkuburan sempena Aidiladha
Eleanor Michelle Patrick
Julai 17, 2021 22:40 MYT
Julai 17, 2021 22:40 MYT
KOTA KINABALU: Sabah tidak membenarkan aktiviti rumah terbuka, jamuan, kunjung-mengunjung serta ziarah tanah perkuburan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata keputusan pindaan prosedur operasi standard (SOP) ini dibuat bagi membendung penularan dan peningkatan kes COVID-19 di negeri ini.
"Bilangan jemaah di masjid-masjid dan surau-surau untuk solat sunat Aidiladha, solat Jumaat dan solat lima waktu dikurangkan kepada satu pertiga kapasiti ruang atau maksima 30 orang jemaah, yang mana lebih rendah.
"Bilangan pengendali sembelihan binatang korban juga dikurangkan kepada 15 orang sahaja.
"Sementara itu, semua aktiviti perayaan Aidiladha di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak dibenarkan," katanya menerusi kenyataan media laporan harian COVID-19 bagi negeri ini, pada Sabtu.
Bagaimanapun, beliau berkata pindaan SOP ini adalah bersifat sementara, sehingga kes-kes harian COVID-19 di negeri tersebut kembali stabil.
Masidi yang juga jurucakap COVID-19 negeri berkata sebanyak 647 kes positif baharu telah direkodkan hari ini, dengan satu kes kematian dikesan dari daerah Lahad Datu.
Jelasnya, peningkatan mendadak ini adalah hasil saringan besar-besaran yang sedang dilaksanakan sekarang ini oleh Jabatan Kesihatan Negeri dalam usaha membendung penularan dalam komuniti.
"Sejumlah 647 kes yang direkodkan ini adalah hasil daripada saringan kluster 287 kes (44.4%), saringan kontak rapat 220 kes (34%), saringan bersasar 63 kes (9.7%), saringan bergejala 47 kes (7.3%) dan lain-lain saringan 30 kes (4.6%).
"Daerah Kota Kinabalu merekodkan kes tertinggi dengan jumlah kes baharu sebanyak 312 kes pada hari ini.
"Daripada jumlah tersebut Kluster Tembok Kota Kinabalu (Penjara Kepayan) menyumbang 204 kes," katanya lagi.
#Aidiladha
#SOP
#perintah kawalan pergerakan
#Solat Jumaat
#Masidi Manjun
#saringan bersasar
#Sabah
#Lahad Datu
#Kota Kinabalu
#kes positif
#COVID-19