Sabah laksana pemutihan ke atas penyewa rumah PPR kendalian LPPB

Bernama
Jun 28, 2023 22:26 MYT
Joachim berkata langkah itu susulan surat pekeliling LPPB baru-baru ini yang mengarahkan penyewa melebihi 10 tahun supaya mengosongkan rumah PPR yang dihuni mereka. - Gambar fail/Twitter@JapenSabah
KOTA KINABALU: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah serta Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) akan melaksanakan langkah pemutihan bagi rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk menentusahkan status kelayakan penyewanya.
Timbalan Ketua Menteri Sabah II Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata langkah itu adalah bagi memastikan hanya mereka yang layak dan benar-benar memerlukan berpeluang menduduki rumah PPR.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata tindakan tersebut juga adalah bagi mengelak mereka mencari keuntungan daripada penyewaan rumah PPR seperti amalan sewa atas sewa.
"Ia juga bagi membolehkan pemohon yang masih ramai menunggu berpeluang menyewa rumah yang dikosongkan kelak," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata langkah itu adalah susulan surat pekeliling LPPB baru-baru ini yang mengarahkan penyewa melebihi 10 tahun supaya mengosongkan rumah PPR yang dihuni mereka.
Bagaimanapun, Joachim berkata arahan itu hanya terpakai kepada penyewa yang telah kehilangan kelayakan untuk terus menduduki rumah PPR seperti terlibat dalam aktiviti sewa atas sewa dan berpendapatan melebihi RM3,000.
Beliau berkata penyewa atau pasangan yang sudah memiliki rumah sendiri, menjadikan rumah PPR sebagai persinggahan inap desa atau mempunyai tunggakan sewa juga boleh menyebabkan mereka hilang kelayakan.
"Kepada para penyewa yang masih layak dan ingin meneruskan penyewaan selepas tempoh 10 tahun, ia boleh dipertimbang oleh LPPB dengan persetujuan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan," katanya.
Joachim juga berkata kementeriannya dan LPPB menerima pakai saranan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor agar sebahagian rumah PPR terbabit diperuntuk kepada para graduan baharu sebagai rumah transit.
-- BERNAMA
#PPR #LPPB #graduan baharu #rumah transit
;