Sabah kekal larang rentas daerah - Hajiji

Astro Awani
Ogos 13, 2021 19:36 MYT
Kemas kini garis panduan dan SOP itu juga menjelaskan sebarang aktiviti rentas daerah melibatkan hal kecemasan perlu kebenaran daripada pihak polis. - Foto Bernama
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus menguatkuasakan larangan rentas daerah susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 di negeri itu sejak dua minggu lalu.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya memandang serius peningkatan kes itu pelbagai usaha sedang dilakukan termasuk meningkatkan kadar vaksinasi.
"Bagi larangan rentas daerah ini, beberapa sekatan jalan raya akan dilaksanakan. Justeru saya mengharapkan rakyat di Sabah patuh kepada SOP yang ditetapkan," katanya.
Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah ada mengeluarkan SOP bagi Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara bagi negeri itu yang menyatakan larangan rentas daerah masih terguna pakai kecuali hal-hal kecemasan, tuntutan tugas dan janji temu vaksinasi.
Kemas kini garis panduan dan SOP itu juga menjelaskan sebarang aktiviti rentas daerah melibatkan hal kecemasan perlu kebenaran daripada pihak polis.
Dalam pada itu, Hajiji menggesa penduduk Sabah supaya kekal mematuhi SOP dan tidak mengadakan perkumpulan beramai-ramai dalam usaha mengurangkan kes jangkitan COVID-19.
"Vaksinasi adalah kunci untuk kita menangani COVID-19 dan kerajaan negeri berusaha memberikan vaksin kepada rakyat yang lain secepat mungkin. Selain itu, rakyat juga perlu berdisiplin dan mematuhi SOP," katanya.
Setakat ini, 1,227,628 atau 44.5 peratus populasi dewasa di Sabah sudah menerima dos pertama vaksin.
#Kerajaan Sabah #Hajiji Noor #larangan rentas daerah #SOP #Ketua Menteri Sabah
;