Sabah kekal 64 peratus kawasan litupan hutan negeri - Hajiji

Bernama
April 27, 2023 18:26 MYT
Pelan itu akan menyediakan garis panduan pelan tindakan terhadap pengurusan sumber hutan bagi tempoh 25 tahun akan datang, untuk kawasan berhutan di seluruh Sabah. -Bernama
SANDAKAN: Sabah pada masa ini mengekalkan 64 peratus daripada keluasan negeri ini sebagai litupan hutan dalam usaha melindungi khazanah semulajadi Negeri di Bawah Bayu ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata kawasan itu juga meliputi 3.84 juta hektar atau 52 peratus keluasan negeri sebagai kawasan yang diwartakan sebagai kawasan hutan simpan dan kawasan perlindungan lain.
Katanya langkah itu juga selaras dengan komitmen Kerajaan Sabah untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan negeri ini sebagai litupan hutan negeri sejajar dengan Dasar Hutan Sabah 2018.
"Bagi memperkasa pengurusan hutan negeri dan melindungi khazanah penting itu, Sabah telah mewartakan sehingga 1.9 juta hektar atau 26.4 peratus sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya.
Ia penting bagi mencapai sasaran 2.2 juta hektar atau 30 peratus daripada keluasan negeri (sebagai Kawasan Terlindung Sepenuhnya) menjelang 2025," katanya dalam ucapan pelancaran Hari Hutan Antarabangsa 2023 Peringkat Negeri Sabah di Rainforest Discovery Centre (RDC) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri II Datuk Dr Joachim Gunsalam yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.
Hajiji berkata Kerajaan Sabah juga sedang melakukan usaha rasionalisasi guna tanah bagi tujuankeseimbangan pembangunan sosioekonomi serta konservasi alam sekitar, sehubungan itu Jabatan Perhutanan Sabah sedang merangka satu Pelan Induk Hutan Negeri.
Beliau berkata pelan itu akan menyediakan garis panduan pelan tindakan terhadap pengurusan sumber hutan bagi tempoh 25 tahun akan datang, untuk kawasan berhutan di seluruh Sabah.
"Menerusi Pelan Induk Hutan ini kelak, Kerajaan Sabah akan memastikan semua Kawasan Ekologi Sensitif (ESA) tetap dilindungi dan tidak mengabaikan pembangunan sosio-ekonomi yang mampan untuk kesejahteraan rakyat Sabah," katanya.
Justeru, Hajiji berkata pembangunan sektor perhutanan terutamanya ladang hutan tidak patut dilihat sebagai penyumbang kepada penyahhutanan kerana ia dijalankan mengikut pelan pembangunan hutan disahkan serta garis panduan komprehensif bagi perlindungan alam sekitar.
"Kerajaan Sabah telah mengenal pasti sebahagian kecil kawasan hutan simpan yang musnahdengan keluasan lebih kurang 400,000 hektar untuk tujuan tersebut sebagaimana termaktub dalam Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022-2036.
"Pembangunan ladang hutan adalah salah satu strategi Pengurusan Hutan Mampan (SFM) bagi memulihkan produktiviti hutan terosot, untuk mengurangkan kebergantungan industri perkayuan tempatan terhadap bekalan balak dari hutan asli dan memastikan sumber bekalan bahan mentah berkekalan", katanya.
-- BERNAMA
#alam sekitar #Hajiji Noor #litupan hutan #khazanah semulajadi
;