'Sabah juga wajib dapat apa Sarawak dapat' - Abdul Ghapur
Astro Awani
Mac 10, 2018 18:25 MYT
Mac 10, 2018 18:25 MYT
Sabah wajar mendapat dan mengguna pakai Ordinan Perlombongan Minyak atau Ordinan Pengagihan Gas negeri seperti mana penyerahan kuasa (devolution of power) industri sumber asli, minyak dan gas kepada Sarawak.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh menegaskan, Sabah juga tertakluk kepada peraturan itu wajar menggunakan ordinan sama kepada syarikat dan kontraktor dari luar.
Malah, setiap syarikat dan kontraktor yang mahu melombong di tanah serta pesisir laut negeri itu perlu mempunyai lesen, permit, pajakan dan kebenaran kerajaan negeri.
"Saya setuju dengan apa yang Sarawak dapat dan Sabah juga wajib dapat apa yang mereka dapat.
"Macam orang beradab la.. jika mahu meneroka sumber asli di Sabah seperti minyak da gas wajib untuk syarikat atau kontraktor yang dilantik syarikat daripada Persekutuan untuk mendapat kebenaran kerajaan negeri.
"Kontrak, lesen dan lain-lain biar la kerajaan negeri luluskan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini.
Pada Selasa lalu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg memberitahu, Sarawak akan menguruskan sendiri sumber semulajadinya terutama minyak dan gas, sejajar dengan persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengembalikan hak negeri itu yang selama ini terhakis tanpa sengaja.
Sehubungan itu, Abdul Ghapur menambah, Sabah sepatutnya mengambil kira untuk menguatkuasakan undang-undang tersebut bagi membolehkan kita mengurus sendiri sumber asli negeri.
Ini katanya bagi memastikan orang Sabah dan Sarawak berasa tidak tertindas selain kesinambungan kewangan negeri diperoleh untuk membangunkan negeri masing-masing.
"Saya di Parlimen juga selalu menyuarakan hak-hak dan kepentingan rakyat negeri Sabah. Apa yang terlepas pandang akan saya utarakan bagi memastikan hak itu tidak terus terhakis," katanya.
#Abang Johari Tun Openg
#Ahli Parlimen Kalabakan
#Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh
#kerajaan
#menteri
#minyak
#minyak dan gas
#Najib Razak
#Ordinan Perlombongan Minyak
#penurunan kuasa
#rakyat
#sumber asli
#undang-undang