Sabah isytihar enam laluan ditetapkan di perairan negeri

Bernama
Mei 9, 2014 18:59 MYT
Gambar Fail
Susulan tiga insiden penculikan di pantai timur Sabah dalam tempoh enam bulan yang lepas, kerajaan negeri mengisytiharkan penguatkuasaan enam laluan ditetapkan sepanjang perairan Sabah bermula hari ini.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata perisytiharan itu seiring dengan keputusan Kabinet dan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas Sabah untuk mengambil semua langkah perlu dalam mempertingkatkan kawalan keselamatan perairan di pantai timur negeri ini bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
Enam pelabuhan yang dikenal pasti sebagai tempat pintu masuk ialah pelabuhan Kudat, Sandakan, Lahad Datu, Semporna, Tawau yang terletak dalam Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) dan pelabuhan Kota Kinabalu, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, satu Prosedur Operasi Standard (SOP) Laluan Ditetapkan untuk mengawal selia bot-bot asing yang keluar masuk perairan negeri ini turut dikuatkuasakan atau dilaksanakan kerajaan negeri, katanya.
"Perisytiharan Laluan Ditetapkan itu merupakan kaedah untuk memantau pergerakan bot-bot asing keluar masuk perairan Sabah, mencegah pelanggaran perundangan Malaysia dengan memberi fokus kepada aspek keselamatan, kawal selia aktiviti perdagangan serta keselamatan pelayaran.
"Laluan Ditetapkan itu juga akan membantu pasukan keselamatan dan agensi-agensi penguatkuasaan maritim negara mengawal pergerakan bot-bot asing di perairan Sabah, menentukan pergerakan bot lebih teratur dan terlibat dalam aktiviti sosio-ekonomi yang sah sahaja," kata Musa.
Beliau membuat kenyataan selepas diberi taklimat susulan mesyuarat penyelarasan penguatkuasaan SOP tersebut melibatkan pelbagai agensi keselamatan yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek.
Musa, yang juga Pengerusi Esscom, berkata SOP Laluan Ditetapkan yang diisytiharkan itu, antara lain, bertujuan memastikan keseragaman dalam pelaksanaan penguatkuasaan Laluan Ditetapkan, di samping pemantauan penguatkuasaan secara bersepadu dan sistematik.
"Kejadian pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu pada 12 Feb tahun lepas dan tiga insiden penculikan dalam tempoh enam bulan lepas menuntut usaha memperketatkan kawalan perairan perbatasan pantai negeri Sabah, sekali gus mengelak kejadian serupa berulang," katanya.
#Musa Aman #penculikan #Sabah
;