Sabah henti eksport kayu balak serta-merta - Shafie Apdal
Ruzaini Zulkepli
Mei 23, 2018 16:21 MYT
Mei 23, 2018 16:21 MYT
Kerajaan Negeri Sabah akan menghentikan serta-merta eksport sumber kayu balak di negeri ini bagi memastikan sumber berasaskan kayu mampu menampung bekalan industri pembuatan tempatan.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, arahan rasmi berhubung langkah itu akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat selain pemakluman kepada Jabatan Perhutanan Sabah dan pihak berkuasa.
Mohd Shafie berkata, langkah itu juga bagi mengelak penerokaan hutan yang berterusan dan juga untuk memastikan bekalan kayu untuk negeri ini sentiasa mencukupi untuk keperluan semasa.
"Kita akan mengambil langkah drastik untuk mengharamkan sementara eksport hasil kayu balak dari negeri ini untuk memastikan keperluan kayu kayan bagi industri pembuatan berasakan kayu di negeri ini mencukupi.
"Langkah ini juga bagi membolehkan peluang pekerjaan bagi anak-anak Sabah akan dapat diwujudkan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Bangunan Yayasan Sabah, di sini, hari ini.
Mohd Shafie juga menegaskan bahawa kerajaan negeri terus komited dalam menyelesaikan masalah kekurangan peluang pekerjaan di negeri ini dan Yayasan Sabah bakal memainkan peranan penting ke arah itu.
Katanya, kerajaan negeri juga tidak bercadang untuk melaksanakan semula Saham Amanah Rakyat Sabah (SARS) kerana peluang pekerjaan lebih memberikan manfaat yang berterusan selain mampu melonjakkan sumber pendapatan penduduk di negeri ini.
"Kita tidak bercadang untuk melaksanakan semula SARS kerana pemberian bonus secara tunai adalah bersifat sementara.
"Lebih baik kita taja pelajar dengan memberikan bantuan biasiswa dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kerana saya yakin langkah itu akan membantu Yayasan Sabah dan rakyat di negeri ini untuk terus maju ke hadapan," katanya.
#balak
#eksport
#hentikan
#kayu balak
#Ketua Menteri
#Mohd Shafie Apdal
#penerokaan hutan
#Shafie Apdal