Sabah hasrat perkukuh hubungan dua hala dengan Brunei

Abdul Hafiz Mustadi
September 29, 2022 17:34 MYT
Datuk Seri Hajiji Noor berkongsi pencapaian kerajaan negeri Sabah kepada Sultan Hassanal Bolkiah ketika menghadap baginda di Istana Nurul Iman. - Foto JKM Sabah
BANDAR SERI BEGAWAN: Pembukaan semula sempadan Brunei dan Malaysia bakal menjadi pemangkin dalam melonjakkan hubungan dua hala antara Sabah dan Brunei.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor optimis masa depan hubungan kerjasama di antara negeri itu dan Brunei akan terus makmur berdasarkan peningkatan nilai perdagangan di antara keduanya iaitu sebanyak RM1.48 bilion pada Ogos 2022 berbanding RM311.7 juta pada 2017.
Dalam lawatan ke Brunei, Hajiji ketika menghadap Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman turut berkongsi pencapaian kerajaan negeri itu dalam melaksanakan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya kepada baginda.
Kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah dan Barisan Nasional (GRS-BN) sepanjang tempoh pentadbiran menurut Hajiji telah mencatatkan hasil kutipan negeri sebanyak RM5.449 pada 2021.
Selain itu, kerajaan Sabah menurut Hajiji turut mencapai RM389 juta dalam pelaburan domestik dari Januari hingga Jun 2022, dan RM9.9 bilion dalam bentuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) dari Januari hingga September tahun ini.
"Sejak GRS-BN mengambil alih tampuk pentadbiran dua tahun lalu, Sabah telah mencatatkan RM5.449 bilion kutipan hasil negeri pada 2021, mencapai RM389 juta dalam pelaburan domestik dari Januari hingga Jun 2022 dan RM9.9 bilion dalam Pelaburan Langsung Asing (FDI) dari Januari hingga September tahun ini", ujar Hajiji.
Pada masa yang sama beliau turut menyampaikan jemputan kepada Sultan Hassanal Bolkiah bagi lawatan timbal balas ke Sabah selain turut mengalu-alukan kedatangan rakyat Brunei ke negeri itu.
Untuk rekod, Sabah mencatatkan kedatangan rakyat Brunei seramai 78,605 orang melawat ke negeri itu pada 2019 sebelum nilai itu menyusut kepada 5,494 pada 2020 berikutan penutupan sempadan.
#Sabah #Brunei #Datuk Seri Hajiji Noor #Sultan Hassanal Bolkiah
;