Sabah harap pindaan RUU Ordinan Buruh Sabah disokong semua Ahli Parlimen
Bernama
September 5, 2024 04:30 MYT
September 5, 2024 04:30 MYT
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berharap bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 yang dijadualkan pada sesi Persidangan Parlimen Penggal Keempat bulan depan (Oktober) mendapat sokongan sebulat suara daripada semua Ahli Parlimen.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata RUU Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 telah dibentangkan untuk bacaan pertama semasa sesi Parlimen Pertama Penggal Ketiga pada 17 Julai lepas.
Beliau berkata pindaan ini akan memberi manfaat kepada majikan dan pekerja di Sabah dengan panduan yang lebih terperinci dan teratur untuk semua pihak dalam meningkatkan hubungan industri lebih harmoni dan kondusif.
"Kerajaan negeri telah memberi persetujuan dan sokongan sepenuhnya kepada pindaan RUU itu kerana satu daripada 16 perkara pindaan itu adalah berkaitan dengan isu hak asasi manusia dan hak buruh serta penghapusan diskriminasi.
"Ia (perkara pindaan) memperuntukkan kesalahan dan hukuman kepada majikan atau mana-mana pihak yang mengamalkan amalan pemerdagangan orang, buruh paksa dan buruh kanak-kanak," katanya di sini pada Khamis.
Hajiji berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa Tahun 2024 di sini yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Ini selaras dengan peranan kerajaan meratifikasi Protokol 29 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) sebagai bukti komitmen kerajaan menghapuskan buruh paksa di negara ini, tambah beliau.
Beliau berkata jenayah pemerdagangan orang dan buruh paksa perlu ditangani dengan bijaksana mengikut dasar dan perundangan sedia ada agar ia dapat dibendung dan dibanteras supaya tidak menjadi isu di peringkat negeri dan antarabangsa.
Kerajaan negeri memberi perhatian serius dan komited dalam memerangi jenayah itu di negeri ini yang memerlukan kerjasama kukuh dan koordinasi antara agensi kerajaan negeri dan persekutuan, badan bukan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, kata beliau.
"Kedudukan negeri ini yang berkongsi sempadan dengan beberapa negara termasuk Indonesia dan Filipina sehingga perjalanan merentas sempadan lebih mudah yang sekali gus menjadikan Sabah terdedah kepada aktiviti migrasi rentas sempadan, pemerdagangan orang dan buruh paksa," katanya.
-- BERNAMA