Sabah harap penurunan kuasa bidang pendidikan, kesihatan dimuktamad - Hajiji
Bernama
Ogos 1, 2023 19:48 MYT
Ogos 1, 2023 19:48 MYT
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berharap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat memuktamadkan penurunan kuasa bidang pendidikan dan kesihatan dalam masa terdekat, seperti dibincangkan menerusi Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, yang menyambut baik pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai penurunan kuasa itu, berkata dengan mempunyai lebih autonomi, kerajaan negeri akan dapat memastikan sistem pendidikan Sabah, mampu bergerak maju seiring dengan Semenanjung.
Hajiji berkata penurunan kuasa yang memberi tumpuan kepada aspek pentadbiran dan pengurusan itu, akan lebih memudahkan kerajaan Sabah melaksanakan seterusnya mempercepat setiap projek pembangunan pendidikan, selain pelantikan dalam perjawatan perguruan seperti diharapkan oleh rakyat negeri itu.
"Usaha desentralisasi kuasa pendidikan ini juga, secara tidak langsung membuktikan kepercayaan kerajaan Persekutuan kepada jentera kerajaan negeri, khususnya dalam meningkatkan keupayaan sistem pendidikan di Sabah.
"Kita yakin dengan adanya autonomi ini, kerajaan negeri melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, akan mempunyai fleksibiliti untuk pelbagai isu berkaitan pendidikan di negeri ini," katanya berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-34 di sini, hari ini.
Pada 15 Mei, Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63 berkata sekretariat itu, antara lain sedang membincangkan mengenai pemberian kuasa pentadbiran untuk sektor pendidikan dan kesihatan di Sabah serta Sarawak, terutama melibatkan pengambilan petugas.
Fadillah berkata Sabah dan Sarawak menghadapi cabaran dalam sektor pendidikan serta kesihatan, kerana perancangan melibatkan sektor itu dilaksanakan di Putrajaya, termasuk isu penting seperti pengambilan petugas.
Hajiji berkata pegawai bagi kedua-dua bidang itu di peringkat negeri, mempunyai pengetahuan lebih baik mengenai permasalahan rakyat di kawasan masing-masing.
"Dengan itu, kawalan dan penyeliaan yang lebih baik harus dilaksanakan dan ini secara tidak langsung membolehkan isu permasalahan rakyat dapat diurus dengan lebih cekap dan cepat," katanya.
Sementara itu, Hajiji ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan berkata, kerajaan Sabah sedang memperinci dan memperhalusi perjanjian perdagangan karbon, kerana ia satu bidang yang baik untuk diterokai.
"Ini kerana kita boleh memperolehi hasil lumayan daripada perdagangan karbon ini. Tetapi, perkara-perkara melibatkan pengurusan, kawasan dan lain-lain mesti dijalankan secara baik dan teratur," katanya ketika ditanya mengenai pendirian kerajaan Sabah berhubung perkara itu.
Pada Khamis (27 Julai), Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dilaporkan berkata Perjanjian Pemuliharaan Alam Semula Jadi (NCA) untuk perdagangan karbon negeri itu masih berjalan, namun berdepan penangguhan pada masa ini dan langkah itu dijangka membuahkan hasil sekitar 18 bulan lagi.
-- BERNAMA
#Hajiji Noor
#penurunan kuasa bidang pendidikan dan kesihatan
#Kerajaan Perpaduan
#Perjanjian Malaysia 1963