Sabah gesa Wisma Putra panggil Duta Filipina

Ruzaini Zulkepli
Ogos 24, 2020 21:56 MYT
Mohd Shafie berkata, Wisma Putra tidak boleh berlembut lagi kerana kerajaan Filipina mengeluarkan pelbagai kenyataan tidak masuk akal sejak akhir-akhir ini.
Kerajaan Sabah menggesa Wisma Putra memanggil Duta Filipina di Malaysia untuk memberi amaran kepada kerajaan negara itu berhubung isu kedaulatan negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata langkah itu perlu dilakukan segera kerana rakyat Sabah telah diberikan janji keselamatan dan perlindungan semasa penubuhan Persekutuan Malaysia 1963 (MA63).
"Sabah adalah negeri yang berdaulat dan perkara ini telah diselesaikan sejak sekian lama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan tentang keputusan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam peta pasport negara itu.
Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, Wisma Putra tidak boleh berlembut lagi kerana pihak berkuasa Filipina mengeluarkan pelbagai kenyataan tidak masuk akal sejak akhir-akhir ini.
"Sabah adalah negeri merdeka di dalam Persekutuan Malaysia melalui MA63 yang telah diterangkan dan diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Berikutan itu, walau apa cara sekali pun, Filipina tidak mempunyai asas, sejarah atau lunas perundangan untuk membuat tuntutan ke atas Sabah," katanya.
Beliau dalam pada itu melahirkan kekesalan terhadap Filipina yang telah bertindak bertentangan dengan semangat ASEAN dan prinsip asas saling menghormati kedaulatan, kesaksamaan dan integriti wilayah masing-masing.
#duta filipina #Filipina #kedaulatan sabah #kerajaan negeri #Mohd Shafie Apdal #Shafie Apdal #Wisma Putra
;