Sabah galak lebih ramai penduduk guna pembayaran tanpa tunai - Hajiji
Bernama
Jun 2, 2024 05:20 MYT
Jun 2, 2024 05:20 MYT
RANAU: Kerajaan Sabah menggalakkan lebih ramai penduduk Sabah menggunakan dan memanfaatkan pembayaran tanpa tunai bagi memudahkan cara pembayaran, menggalakkan penggunaan teknologi terkini selain meningkatkan tahap ekonomi setempat.
Justeru, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri menyediakan pelbagai inisiatif untuk membudayakan pembayaran tanpa tunai seperti mengupayakan terimaan hasil negeri dengan kemudahan tanpa tunai antaranya pembayaran lesen, permit serta kemudahan awam.
Beliau berkata inisiatif terlibat termasuk Aplikasi Sabah Pay yang dilancarkan Perbadanan Pinjaman Sabah dan inisiatif terbaharu iaitu You Only Need One (YONO).
"Transaksi tanpa tunai menawarkan banyak manfaat, termasuk kaedah pembayaran yang lebih mudah, cepat dan selamat. Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan transaksi harian, tetapi juga menyelesaikan isu lama seperti kekurangan mesin ATM di kawasan luar bandar.
"Justeru, dalam memastikan pembayaran tanpa tunai memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat sejagat, kerajaan negeri dan Persekutuan sentiasa prihatin untuk memastikan prasarana komunikasi tersedia," katanya ketika melancarkan E-Duit Desa Komuniti Cashless Tamu Kundasang di sini pada Ahad.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Joachim Gunsalam yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.
Hajiji berkata selaras dengan semua itu juga, usaha sedang dipergiat untuk menyiapkan sebanyak 398 menara telekomunikasi di seluruh negeri melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam kadar segera.
"Semua usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri ini adalah demi kesejahteraan rakyat sekali gus membuktikan keprihatinan bagi membawa pembangunan dan kemajuan khususnya berkaitan teknologi terkini kepada rakyat," katanya.
Mengenai program itu, Hajiji berkata inisiatif dilaksanakan Agrobank ini selaras dengan visi kerajaan negeri Sabah untuk meningkatkan penggunaan dan akses kepada pembayaran digitalisasi di seluruh negeri.
"Dengan menerima pakai pembayaran digital, ia dapat meningkatkan dan pemantapan ke arah ekonomi yang lebih cekap dan telus. Justeru, usaha berterusan Agrobank memperkenalkan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai di Sabah amat dihargai," katanya.
-- BERNAMA