Sabah fokus tarik pelancong India - Joniston
Bernama
Disember 9, 2022 09:30 MYT
Disember 9, 2022 09:30 MYT
KOTA KINABALU: Sabah akan menggiatkan usaha untuk menarik pelancong India memandangkan mereka mewakili pasaran keluar yang paling pesat berkembang, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau berkata industri pelancongan negeri terlalu bergantung kepada pelancong China sebelum pandemik dan ia kini perlu mempelbagaikan pangkalan pelanggannya.
Joniston berkata lebih 6,000 pengunjung India datang ke Sabah sebelum pandemik pada 2019, menunjukkan minat yang jelas untuk melawat rantau ini dan walaupun bilangannya sederhana, ia masih petanda yang baik.
"Sabah terkenal dengan pelancongan berasaskan alam semula jadi, tetapi kami juga menawarkan produk mewah dan pengalaman perjalanan yang unik yang akan menarik pelawat dari India. Mereka berbelanja besar jadi kami mahu menarik mereka ke sini.
"Yakinlah Lembaga Pelancongan Sabah sedang giat mengejar pasaran India dan kami berharap dapat melihat peningkatan ketibaan yang stabil pada tahun akan datang. Saya yakin hubungan langsung antara India dan Sabah akan diwujudkan pada masa depan apabila terdapat peningkatan jumlah pelancong India," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, Joniston, yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, menganjurkan majlis makan malam untuk Ejen Pelancongan Pasaran India melalui Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), turut hadir Presiden MATTA Datuk Tan Kok Liang dan wakil AirAsia, Malaysia Airlines (MAS) serta Batik Air.
Pengarah AsianWorld Holidays Sdn Bhd George Kandiah mengetuai delegasi itu dalam sesi lawatan suai kenal mereka ke Sabah.
Mengenai kekerapan penerbangan semasa, Joniston berkata terdapat 163 penerbangan sambungan mingguan antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu tersedia melalui MAS, AirAsia dan Batik Air.
Beliau juga menyatakan 3,247 pelancong dari India tiba di Sabah antara Januari dan Oktober tahun ini.
Pada Selasa (6 Dis), Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B. Nagabhushana Reddy mengadakan kunjungan hormat ke atas Joniston iaitu antara lain mereka bertukar-tukar pandangan mengenai potensi kerjasama dan pembangunan pelancongan.
Dalam pertemuan itu, Reddy menyebut keperluan untuk bekerjasama dengan destinasi pelancongan popular kerana rakyat India mengembara secara meluas dan dalam jumlah yang besar di seluruh dunia.
Beliau berkata kira-kira 700,000 pelancong India melawat Malaysia pada 2019 dan sebahagian daripada mereka terbang ke Sabah menunjukkan bahawa pelawat India sudah membuat rancangan untuk merasai pengalaman unik di negara ini.
-- BERNAMA