Sabah diberi keutamaan terima vaksin CanSino - Khairy

Astro Awani
Julai 23, 2021 16:50 MYT
Jelas Khairy program vaksinasi perlu menjangkau masyarakat di pedalaman dan pulau-pulau terpencil yang mobiliti mereka terkesan berikutan keadaan muka bumi. - Foto BERNAMA
KOTA KINABALU: Sabah antara negeri terawal yang akan untuk menerima vaksin dos tunggal CanSino apabila Malaysia menerima tiga juta bekalan vaksin berkenaan pada bulan depan.
Jaminan itu diberikan Menteri Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dalam pertemuan secara maya bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, pagi tadi.
"Kami akan membuat penghantaran pertama untuk Sabah.
“Kami akan memberitahu dan memberi pilihan kepada Sabah mengenai Johnson & Johnson (vaksin satu dos)," jelasnya.
Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) memberi jaminan berkenaan sebagai maklum balas kepada permintaan Hajiji agar lebih banyak bekalan vaksin dihantar ke Sabah bagi mencapai sasaran 60 peratus vaksinasi di negeri itu menjelang Oktober sekali gus mencapai imuniti kelompok pada akhir tahun ini.
“Ia juga penting bagi kita agar dapat menjangkau masyarakat di kawasan pedalaman dan pulau-pulau terpencil yang mana mobiliti mereka terkesan oleh keadaan muka bumi yang agak sukar dan jauh,” ujarnya.
Turut hadir dalam pertemuan maya itu ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.
Bersama Khairy ialah Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin, menjelaskan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi pertama Sabah akan bermula minggu depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
“PPV Integrasi akan memberi vaksin secara percuma dan membenarkan hospital swasta membantu untuk mempercepatkan proses vaksinasi sekali gus mengurangkan beban yang dihadapi hospital awam ketika ini,” katanya.
#Khairy Jamaluddin #COVID-19 #Masidi Manjun #PICK #PPV #CanSino #Pusat Pemberian Vaksin #imuniti kelompok #Sabah #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Ketua Menteri
;