Sabah dapatkan sumber baharu pastikan hasil negeri kukuh, mampan - Hajiji

Bernama
Disember 9, 2021 14:02 MYT
HAJIJI: Kerajaan negeri sedar hasil negeri ketika ini banyak bergantung kepada prestasi komoditi petroleum dan minyak sawit mentah. - Bernama
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah berusaha untuk mendapatkan sumber hasil baharu bagi memastikan kutipan hasil negeri ini sentiasa kukuh dan mampan, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata kerajaan negeri sedar hasil negeri ketika ini banyak bergantung kepada prestasi komoditi petroleum dan minyak sawit mentah yang nilai pasarannya adalah di luar kawalan kerajaan negeri sendiri.
Menteri Kewangan Sabah itu berkata meskipun pada masa kini harga pasaran produk petroleum dan minyak sawit mentah agak kompetitif, bagaimanapun naik turun harga pasaran produk petroleum dan minyak sawit mentah ditentukan permintaan dalam pasaran global.
"Kerajaan ini akan memastikan sumber hasil baharu tidak akan membebankan mana-mana pihak,malah pendekatan menang-menang adalah asas bagi kerajaan mengambil tindakan demi kepentingan negeri dan rakyat.
"Semua inisiatif dan usaha tersebut perlu didukung dengan komitmen tinggi, kerjasama dan sokongan padu daripada semua pihak," katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2022 Sabah di sini hari ini.
Belanjawan 2022 Sabah dibentang Hajiji pada Jumaat lepas (3 Disember) memperuntuk RM4.596 bilion dengan kutipan hasil negeri tahun depan dianggarkan RM4.707 bilion menjadikan ia belanjawan lebihan sebanyak RM110.68 juta.
Hajiji berkata kerajaan negeri juga akan meneruskan usaha untuk meningkatkan kutipan hasil dan mengurangkan tunggakan hasil melalui pelbagai pendekatan termasuk menambah baik sistem kutipan; memperkasakan penguatkuasaan dan meningkatkan pulangan pelaburan kerajaan negeri.
Beliau berkata Cukai Jualan Negeri (CJN) amat penting dan antara penyumbang utama kepada kewangan kerajaan negeri, justeru kerajaan negeri tidak bercadang mengurangkan kadar cukai yang sedang dikutip apatah lagi dengan harga seperti Minyak Sawit Mentah (CPO) yang agak tinggi masa ini.
"Bagaimanapun kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan yang bermanfaat daripada pihakindustri yang boleh memberikan pulangan dan kesan limpahan ekonomi yang tinggi kepada negeri ini," katanya.
Mengulas mengenai CJN atas produk petroleum, Hajiji berkata hanya dua jenis produk petroleum dikenakan cukai iaitu minyak mentah petroleum dan gas asli atau gas asli cecair pada kadar lima peratus bagi setiap produk berkenaan.
Sementara itu, beliau mengumumkan peruntukan RM2 juta tahun depan kepada setiap 73 kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah bagi membantu mengatasi masalah rakyat di kawasan terbabit.
-- BERNAMA
#sumber hasil #Hajiji Noor #komoditi #Sabah
;