Sabah dalam peta pasport Filipina, Wisma Putra tidak teragak-agak ambil tindakan tegas

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 27, 2020 17:14 MYT
Kamarudin affar menegaskan pihaknya juga sedang mempertimbang beberapa pilihan sebagai reaksi balas. - Foto fail
Kementerian Luar tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas susulan keputusan Filipina meluluskan rang undang-undang (RUU) baharu memasukkan Sabah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) sejauh 200 batu sebagai sebahagian peta pasport negara itu.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar menegaskan pihaknya juga sedang mempertimbangkan beberapa pilihan sebagai reaksi balas selain tindakan-tindakan yang telah diambil sebelum ini.
"Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Luar sentiasa memandang serius apa-apa isu berkaitan hak kedaulatan negara, termasuk Sabah, dan kekal konsisten dengan pendirian tegas untuk tidak melayani sebarang tuntutan seperti ini.
"Di kesempatan ini, saya juga mengharapkan agar pemimpin di peringkat negeri atau peringkat Persekutuan tidak mengeruhkan situasi demi kepentingan politik peribadi.
"Kementerian juga akan meneruskan perbincangan dengan kementerian dan agensi lain yang berkaitan, dan juga kerajaan negeri Sabah sebelum memutuskan opsyen-opsyen yang akan dilaksanakan," katanya pada sidang kamar khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab usul yang dikemukakan Datuk Liew Vui Keong (Warisan-Batu Sapi) berkenaan kelulusan Jawatankuasa Dewan Luar Negara Filipina terhadap RUU tersebut.
Ujarnya, setiap kali kenyataan berhubung isu tuntutan ke atas Sabah timbul, Kementerian Luar mengambil tindakan segera bagi menolak kenyataan-kenyataan tersebut.
Ia termasuk mengemukakan nota bantahan, mengeluarkan kenyataan media atau memanggil Duta Besar Filipina ke Kementerian Luar.
"Tindakan-tindakan sedemikian adalah bertujuan menegaskan pendirian Malaysia terhadap status negeri Sabah," katanya.
#Dewan Rakyat #Filipina #Kamarudin Jaffar #Kementerian Luar #Timbalan Menteri Luar #tuntutan Sabah #undang-undang #Wisma Putra
;