Sabah dalam peta pasport Filipina: PEMBELA buat laporan polis

Qaisara Umaiyah
Ogos 27, 2020 19:46 MYT
Laporan polis tersebut dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu pada Rabu.
Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (PEMBELA) membuat laporan polis bagi mendesak isu Sabah dalam peta pasport Filipina diselesaikan demi keselamatan.
Yang Dipertua PEMBELA, Erwan Johan, berkata sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mereka melihat isu tersebut mempunyai sensitiviti terhadap kedaulatan Sabah.
"Berdasarkan satu artikel yang tular di media sosial, berkenaan kerajaan Filipina yang memasukkan Sabah di dalam peta negara Filipina dan pasport antarabangsa, PEMBELA tampil membuat laporan ini.
"Sebagai rakyat Sabah, isu ini perlu diselesaikan kerana Sabah adalah sebuah negeri yang berdaulat mengikut Perjanjian Malaysia 1963," katanya.
Laporan polis tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu pada Rabu.
Terdahulu, Kementerian Luar menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas susulan keputusan Filipina meluluskan rang undang-undang (RUU) baharu memasukkan Sabah dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) sejauh 200 batu sebagai sebahagian peta pasport negara itu.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar memaklumkan pihaknya juga sedang mempertimbangkan beberapa pilihan sebagai reaksi balas selain tindakan-tindakan yang telah diambil sebelum ini.
Isnin lalu, Kerajaan Sabah dilaporkan meminta Wisma Putra mengeluarkan amaran keras kepada Filipina berhubung pencetakan peta Sabah dalam pasport republik berkenaan, termasuk memanggil Duta Filipina di Malaysia bagi menjelaskan perkara itu.
Ia susulan laporan media mengenai keputusan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina yang dikatakan membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam pasport negara itu.
Jawatankuasa dianggotai 46 Ahli Dewan Perwakilan Filipina itu mengadakan proses mewujudkan RUU gantian bagi meminda, mengganti atau memansuhkan Akta Republik No 8239 yang juga dikenali sebagai Akta Paspot Filipina 1996.
Ia bagaimanapun belum dikategorikan sebagai RUU Dewan Perwakilan Filipina, selain masih perlu melalui pelbagai peringkat, iaitu Jawatankuasa Perolehan dan Jawantakuasa Peraturan, dibentang bagi bacaan kali kedua dan ketiga sebelum diluluskan di Dewan Perwakilan.
Cadangan pindaan diluluskan di peringkat jawatankuasa itu, antaranya meliputi tujuan Akta Paspot Filipina serta penubuhan pusat pemprosesan dan pengeluaran pasport di setiap wilayah Filipina.
#Filipina #Kementerian Luar #keselamatan #Lahad Datu #Perjanjian Malaysia 1963 #Sabah
;