Sabah cadang pinda enakmen hutan seiring Akta Perhutanan Negara

Bernama
Ogos 25, 2022 04:45 MYT
Langkah itu juga bakal memperkemas ruang kerjasama antara pelesen Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan dengan kerajaan negeri selaras dengan visi pengurusan hutan mampan. -Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bercadang meminda Enakmen Hutan 1968 bagi memastikan kerangka perundangan perhutanan negeri dapat bergerak seiring dengan pindaan terhadap Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 diluluskan Dewan Rakyat pada Julai lepas.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata cadangan pindaan itu juga merangkumi aspek lebih mencabar dalam dunia perhutanan dewasa ini, termasuklah untuk memenuhi agenda antarabangsa bagi mengatasi isu perubahan iklim, mitigasi melalui perdagangan karbon dan pemuliharaan biodiversiti.
Katanya, langkah itu juga bakal memperkemas ruang kerjasama antara pelesen Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan dengan kerajaan negeri selaras dengan visi pengurusan hutan mampan.
"Pindaan terhadap APN 1984 bertujuan meningkatkan perlindungan hutan kekal di Malaysia, dan telah menggariskan syarat-syarat yang ketat untuk pewartaan keluar sebarang kawasan hutan simpan kekal di Semenanjung Malaysia.
"Saya percaya mereka telah mencontohi kita, kerana ia lebih awal diamalkan di Sabah. Saya juga difahamkan bahawa melalui pindaan APN, kadar denda, hukuman dan penalti tambahan bagi membendung kesalahan hutan yang merosakkan alam sekitar juga telah dinaikkan," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Hajiji berkata beliau menyarankan agar Jabatan Perhutanan Sabah dan juga jabatan-jabatan berkaitan untuk terus mengkaji semula peruntukan yang ada dalam Enakmen Hutan 1968, dan mengasimilasikan pindaan telah dibuat mengikut kepentingan kerajaan negeri.
Beliau berkata pengurusan kawasan hutan simpan perlu terus dimantapkan dalam menyokong dasar kerajaan untuk mengekalkan sekurang-kurang 50 peratus keluasan tanah negeri dilitupi kawasan berhutan, serta mencapai 30 peratus Kawasan Terlindung Sepenuhnya.
-- BERNAMA
#Enakmen Hutan 1968 #Hajiji Noor #Akta Perhutanan Negara #Dewan Rakyat